Sunday, January 3, 2010

Islam Di Persimpangan, Antara Kejahilan Ummah Dan Kelemahan Ulama 2

Syuyuukhul Qurra' Hafizahumullah.

Menyingkap Kelemahan Ulama.
Kejahilan ummah yang semakin parah ini semakin lama semakin tidak dapat dibendung dan hilang jalan penyelesaian. Ironinya, mojoriti golongan ulama yang dianggap peyelesai dan peneutral keadaan masih lagi bermimpi disiang hari serta dalam keadaan yang sangat lemah. Serangan dan tekanan terhadap kebangkitan ulama juga semakin hari semakin hebat seperti tekanan terhadap sekolah-sekolah agama rakyat dunia dan penjenamaan ulama dan agamawan sebagai pengganas. Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar ulama semakin hilang taringnya dan menerima apa sahaja yang berlaku. Akibatnya, persoalan dan seruan kemenangan Islam akan terus menjadi omongan kosong dan angan-angan Mat Jenin sahaja.

Seringkali bila kita membicarakan soal kelemahan ulama, ianya tidak akan dapat lari daripada masalah ulama yang mementingkan diri dan ditawan pemikirannya. Ilmu yang dikatakan penuh didada bagaikan tidak mempunyai erti apabila bertembung dengan soal keduniaan dan martabat dipandangan manusia. Mereka juga sanggup menjual maruah agama dengan harga yang murah dan nilai yang hina. Golongan ini dinyatakan oleh Allah SWT yang bermaksud :

Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Sebahagian besar golongan yang dikatakan ulama masakini semakin lama semakin jauh dari maksud dan tuntutan sebenar ulama yang disebut oleh baginda Rasulullah SAW sebagai pewaris para nabi. Ulama yang ditakrifkan oleh sesetengah cendekiawan Islam ialah satu golongan agamawan yang arif di dalam setiap perkara di dalam satu bidang dan mengetahui dengan baik sesetengah perkara di dalam semua bidang. Akan tetapi realiti yang berlaku dewasa ini menunjukkan ulama hanya tinggal nama sahaja. Mereka tidak mempunyai persiapan keilmuan yang cukup dan bertepatan dengan waqie' dan tempat mereka berada. Ilmu-ilmu yang mereka kuasai hanya jumud dan tertumpu kepada apa yang tertulis didalam kitab-kitab fekah dan turath tanpa berusaha untuk mengembangkannya dengan penulisan-penulisan baru dan semasa. Mereka juga tidak dapat mengusai Fiqh Awlawiyat, Fiqh Muwazanat, Fiqh Mua'asoroh dan Fiqh Haraki dengan baik. Bahkan teramat malang, sebahagian besar dari ulama masakini tidak mengetahui langsung tentang fiqh-fiqh yang disebutkan tadi.

Selain itu, antara kelemahan yang jelas terlihat pada sebahagian besar golongan ulama abad ke 21 ini juga ialah mereka menutup terus pintu ijtihad terutamanya dalam perkara-perkara yang baru muncul dan tidak memahami adab ikhtilaf dengan baik. Sememangnya bila disoroti lembaran sejarah, kita akan mendapati ada diantara ulama-ulama terdahulu yang menutup pintu-pintu ijtihad disebabkan keserakahan ulama suu' yang menjad karzai para umara' diwaktu itu. Akan tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga para Mujaddidin yang sentiasa berijtihad dan menyatakan hukum berpandukan sumber-sumber yang muktabar serta sentiasa mempertahankan Islam dari setiap cabaran-cabaran baru yang muncul di dalam masyarakat.

Akibat dari kelemahan diatas menyebabkan sebahagian para ulama sekarang saling bertelingkah pendapat dan berpecah belah terutamanya dalam perkara cabang dan dalam masa yang sama melupakan titik pertemuan dan perkara asas yang perlu disepakati dan diperjuangkan secara bersama. Permasalahan utama ummah yang kian membarah semakin diabaikan dan masalah khilaf yang telah lama dibincangkan dan dicapai kata putusnya oleh para ulama mujtahid terdahulu menjadi perkara asas dalam perjuangan. Kerana terlalu sibuk dengan apa yang kurang penting menyebabkan mereka lupa akan asas kesatuan ulama terdahulu dalam berhadapan dengan masalah perselisihan pendapat.

Selain itu juga, majoriti ulama sekarang seakan-akan melarikan diri dari menjadi umara dan pemimpin ummah. Mereka lebih suka berada pada zon selesa dengan gelaran ustaz kampung dan sekadar menjadi pemerhati senyap kepada urusan pemerintahan. Walhal gerak kerja umara ini juga adalah profession tetap golongan Rasul terdahulu. Kesenjangan yang sengaja diwujudkan ini menyebabkan masyarakat melihat golongan ulama hanya layak memimpin dalam konteks ibadat yang sempit dan dalam ruang linkup kehidupan yang terbatas.
Dalam keadaan penilaian masyarakat yang sebegitu rupa, sebahagian besar para ulama terus lupa dan leka dalam pendekatan dakwah mereka kepada masyarakat. Pendekatan para ulama dilihat tidak lagi bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan semasa masyarakat. Teknologi dan wasilah-wasilah moden yang sangat pesat berkembang nampaknya tidak digunakan sepenuhnya oleh para ulama sehinggakan mereka dilihat sebagai golongan yang ketinggalan zaman dan tidak bertamadun sedangkan fitrah Islam itu adalah waqi'iey dan sesuai sepanjang zaman. Cuba kita soroti sejarah ulama umara di zaman kegemilangan Islam. Islam dapat berkembang dan menguasai dua pertiga dunia kerana pendekatan ulamaknya yang sesuai dengan suasana, kehendak dan teknologi yang ada di waktu itu sehingga melahirkan generasi ulama-ulama muda dan baru yang lahir di dalam negara-negara yang mereka kuasai. Keadaan ini tidak akan dapat dicapai sekiranya mereka jahil dan tidak menggunakan segala method dan wasilah yang ada ketika itu.

Merangka Perubahan-Persediaan, Peranan dan Penyelesaian

Dalam kekalutan suasana ummah dan dunia yang ada sekarang, ulama tidak boleh lagi lena di dalam jaga menanti segala perubahan datang bergolek. Segala transformasi dan perubahan perlulah dijana dan digembeling secara bersama bermula dari grass root sehingga ke peringkat yang tertinggi. Ulama perlulah memahami Islam yang hak, syumul dan mendalam serta mengaplikasikannya didalam setiap aspek kehidupan samada dari sudut pemahaman realiti kehidupan umat Islam ataupun bukan Islam secara mantap.

Ulama juga hendaklah memahami hukum-hukum Islam khususnya di dalam aspek pensejarahan dan perubahan masyarakat. Untuk tujuan itu, mereka hendaklah memahami dengan baik maqasid syari'eyyah tanpa jumud melalui zahir nas dan dalam masa yang sama memahami fiqh awlawiyat dan hubungkaitnya dengan fiqh muwazanat serta adab dan tatasusila dalam mengahadapi perkara khilaf dikalangan ulama dan juga perbezaan pandangan dengan orang-orang bukan Islam. Dari sudut itu juga, ulama hendaklah cenderung dan sentiasa bersedia untuk berdialog dan bermuzakarah dengan orang lain samada orang Islam atau bukan Islam untuk memberi penjelasan sebenar tentang Islam.

Realiti pertelingkahan antara ulama hari ini menyaksikan sebab dan puncanya adalah kebanyakannya bertitik tolak dari masalah pertembungan antara pendekatan salafiyah dan khalafiah. Untuk itu, ulama masakini hendaklah menggabungkan pendekatan salafiyah dengan tajdid antara tuntutan tradisi dan keperluan semasa. Disamping itu, mereka juga perlulah sentiasa cenderung kepada pendekatan taysir di dalam memberikan fatwa tanpa ifrath dan juga tafrith dengan mengikut sumber-sumber pensyariatan yang sahih dan segala kaedah-kaedah yang telah disepakati oleh ulama-ulama terdahulu serta dalam masa yang sama menampilkan pendekatan tabsyir di dalam dakwah.

Selain dari itu, para ulama juga hendaklah mengimbangi tuntutan Dhawabit Al-Syara' dengan keperluan revolusi masyarakat yang mendesak. Dengan cara itu, ulama akan mampu memperkenalkan Islam sebagai satu gagasan pembaharuan dan alternatif yang komprehensif untuk membangunkan ummah di samping menyelematkannya dari fikrah-fikrah meterialistik dan logikal yang sempit dan tidak berpandangan jauh. Dari aspek sosio politik pula, para ulama hendaklah memaparkan kepada dunia akan nilai-nilai Islam yang sejagat seperti konsep syura, keadilan sosial, kebebasan dan maruah diri serta mempromosikan perspektif dan pandangan kacamata Islam dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak asasi manusia. Di samping itu yang paling penting, para ulama juga hendaklah sentiasa bersedia untuk berjihad dengan harta dan nyawa untuk mempertahankan martabat Islam diatas muka bumi Allah SWT ini.

Secara kesimpulannya, apa yang disebutkan diatas hanyalah secara ringkas tanpa melihat kepada contoh dan penerangan yang panjang kerana kalau dibincangkan isu ini secara khusus, sudah tentu akan menghasilkan penulisan panjang yang berjilid-jilid. Penulis hanyalah ingin memberikan gambaran umum terhadap situasi ummah yang berlaku dewasa ini yang tidak mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya dari para ulama. Sudah tentu segala gagasan dan saranan diatas memerlukan pengorbanan, istiqamah dan kesabaran yang tinggi daripada para ulama yang menggalas amanah selaku pewaris para nabi sepanjang zaman.

Seruan Allah kepada semua prajurit Islam, "Katakanlah!, aku beriman kepada Allah SWT kemudian beristiqamahlah"
hak cipta : fahinsproperty.blogspot.com

Saturday, December 19, 2009

Ruginya Kalau...



Ruginya kalau kebahgiaan akhirat yang tiada tolok bandingnya dijual dengan dunia yang tidak apa-apa ini. Itulah kata Syeikh Hilal Hizam Sanad ketika hissoh Usul Tafsir baru2 ini. Itulah kata-kata keramat sebelum masuk awal Muharram dari beliau..Sudah berhari2 saya terfikir kata-kata itu..Memikirkan diri sendiri..dan semua yang ada di sekeliling…

Dalam terfikir2 itulah.., semalam saya dapat sedikit ta’aliq tentang perkara itu dari Ustaz Shahir Hassan yang datang ziarah ke Yaman. Baru2 ini anak saudaranya telah kembali ke Rahmatullah...Allahyarham Adik Afif. Teringat pada dia, sayu di hati masih belum habis. Allah lebih menyayanginya..Seawal umur 13 sudah dipanggil Allah. Kata Ust Shahir, “bukan senang nak tinggal waris kat bumi Yaman, meninggal dalam jihad ilmu..korang ingat mudah ke??. Kalau ada lagi anak nak mati disini, ana nak hantar lagi”.

Semalam Ust Shahir ada menyebut, kita kalau fikir taknak berjuang..kena fikir satu perkara sahaja. Kita hidup di dunia ini hanya sekitar 60 hingga 70 tahun sahaja. Satu jangka waktu yang agak lama kalau fikir sekali imbas..Tapi cuba fikir balik, dalam alam kubur agaknya berapa lama kita akan bertapa kat sana?. Nabi Nuh hidup beratus tahun. Lama sungguh umur dia di atas dunia. Tapi dari zaman Nabi Nuh sampai sekarang, agaknya dah berapa ribu tahun Nabi Nuh hidup di alam kubur. Begitu juga keadaannya lebih kurang dengan kekasih kita Nabi Muhammad SAW. Abrahah pun sama….Abu Jahal pun..Tun Razak..Tun Hussin Onn..Allahyarham Ust Fadhil..dan semua manusia2 yang terpahat namanya disisi manusia.

Itu belum lagi masuk waktu dan masa di alam akhirat yang tiada berkesudahan dan tiada penghujungnya..Nak tunggu dari hari kita mati, dalam alam kubur hari dibangkitkan..dan tunggu giliran hisab amalan..lamanyaaaa….Jauh lagi lama dari jangka waktu kita hidup. Apalah sangat jika nak dibandingkan 60 atau 70 tahun hidup di dunia.~Allah…

Cuba bayangkan…di Malaysia. Kalau kita ada dalam bank. Nak berurusan dengan pegawai bank di kaunter. Dalam keadaan ada aircond,kerusi empuk dan segala kemudahan (nak dibandingkan dengan Yaman, tak bolehlaa..). Nak tunggu giliran nama kita dipanggil pun naik berkematu rasanya. Bosan yang amat!. Boring…Sakit hati..semua bercampur baur..Nak tunggu nama kita dengan jarak bermula dari nabi Adam sehingga orang yang terakhir dilahirkan, agak-agak kita giliran yang keberapa?. Dengan keadaan yang masyaAllah sangat hebat hiruk pikuknya masa itu, agaknya boleh ke kita sabar sepertimana kita sabar menunggu dengan suasana penuh boring dan bosan di dalam bank…Jauh..jauh sekali bandingannya..~Allah..

Bayangkan..Selepas menunggu di dalam alam kubur yang tersangat panjang..Setelah puas menunggu di dalam kubur..Itupun kalau di dalam kubur tiada apa yang berlaku. Dibangkitkan dan diseur ke padang Mahsyar. Dalam gegak gempita suasana padang mahsyar. Nak menunggu lagi sehingga nama dipanggil untuk dihisab. Menunggu lagi selepas beratus atau beribu-ribu tahun menunggu. Dengan takut, hiba, terpinga-pinga, segala makhluq dan rupa serta keadaan ada di depan mata, tak tahu ke syurga atau ke neraka, menangis..menjerit..meraung seorang diri..tiada siapa yang peduli..Tiba-tiba, diri ditegur, bahu dipeluk..tangan dipegang..bila berpaling, Alangkah leganya..Sejuknya jiwa..Rasulullah disisi. Tangan ditarik dan diri dibawa ke bawah Arasy Allah..~Allah..

Adakah sama perasaan kita ketika itu seperti orang yang ditarik pegawai bank yang mengenal diri kita dan menyelesaikan urusan kita tanpa menunggu giliran dan dibawa menunggu di bilik khas sewaktu membuat urusan di bank?. Jauh..jauh sekali bezanya. Tidak boleh dibandingkan langsung!!..Syafaatmu Rasulullah!..Itulah yang kami dambakan..

Apa yang menjadi kayu ukur???...Apa yang menentukan nasib kita?..ketika dalam alam kubur..ketika di padang Mahsyar..Ketika menunggu giliran dihisab dan tempat kita di akhirat kelak yang waktunya bukan 60 tahun, bukan 70 tahun, bukan 500 tahun, bukan 1000 tahun, malah beribu-ribu tahun???...

Semuanya hanya antara 60 tahun kita didunia…Itupun kalau sampai umur 60 tahun. Kalau tak sampai??..

Bahagia atau sengsara di dua alam tersebut hanya bergantung kepada 60 atau 70 tahun tersebut..Alam kubur..,samada…raudhah min riyaadhil jannah atau hufrah min hufarin nar.. Taman dari taman syurga atau lubang dari lubang neraka. Alam akhirat pula…Samada syurga atau neraka..Hanya waktu itu…60 natau 70 tahun..Pastikah kita umur kita akan sampai ke waktu itu?. Alangkah singkatnya..Subhanallah..singkatnyaaa..

Kalau dalam jangka masa yang sangat singkat itu, kita tak berjuang. Tak kumpulkan amalan..Bergelumang dan berbangga dengan dosa..Astaghfirullahalazim..Ruginya..Kerana telah menjual kebahagiaan di akhirat dengan dunia yang sangat tiada apa-apa..

Thursday, November 26, 2009

Nak Berjuang..Kena Tahu Korban Perasaan..


Ukhuwah..

Satu lafaz yang sangat indah terbina dari lafaz yang indah..

Alhamdulillah..Allah masih lagi memberikan peluang kepada saya untuk merasa nikmat ukhuwah yang dibina diatas kasih sayang kerana Allah…

Pengalaman bersama sahabat-sahabat di bumi Yaman ini banyak mengajar saya erti ukhuwah Islamiah~Allah..Semenjak saya sampai ke Yaman selepas pulang bercuti ke Malaysia, Allah memberikan peluang yang banyak untuk saya menilai erti ukhuwah yang sebenar. Saya diberi penghormatan oleh sahabat-sahabat untuk menjadi tali penghubung ukhuwah yag agak retak. Walaupun tugas itu seharusnya diberikan kepada orang-orang yang lebih thiqah dari saya. Namun saya menganggap ianya satu latihan tarbiyah buat diri saya disini. Saya bertemu dengan pelbagai latar belakang dan kedudukan. Memerhati dan menilai. Melihat semuanya dalam diri saya..Mengajar dan mentarbiyah diri sendiri dan sahabat-sahabat. Semuanya ada hikmah dan mau’izah. Sungguh indah ukhuwah itu. Baru sekarang saya merasainya.

Kalau tidak ada kepahitan, kita tidakkan tahu nilainya kemanisan . Kalau tidak ada badai gelombang, kita tidak akan tahu indahnya ketenangan…Terkadang keretakan sebeginilah yang mengajar kita nilai dan erti indahnya ukhuwah..

Fitnah dan tohmahan yang berlaku antara satu sama lain semuanya dibina diatas dasar zhon dan sangkaan buruk semata-mata. Bila ianya tidak diurus dengan baik, akhirnya membawa kepada pecahnya nanah yang mebengkak. Memuntahkan segala keburukan dan kehinaan..Akhirnya menghapuskan madu ukhuwah yang telah sedia ada..Sungguh hebat perancangan syaitan…Membina ego manusia sehingga membuatnya lupa akan jawatan hamba. Mencanang berita tanpa difikir jalan Islam yang ada. Semuanya ini makar syaitan yang merencana..

Tapi bila hati bertemu hati..sayang bertemua sayang..ilmu bertemu ilmu..hamba bertemu hamba..Kasih kembali bertaut..Syaitan menggelupur kekalahan..Semuanya mengakui salah sendiri, melihat masing-masing kedalam diri..Membela sahabat yang dulunya dimusuhi..~Allah.Semuanya rahmat kasih sayang Allah yang merencana..

Mungkin inilah ujian Allah bila kita berazam untuk mengeratkan lagi ukhuwah. Memang PERMAYA pada tahun ini sejak dari awal pemerintahannya sesi ini asyik mencanangkan untuk menguatkan ukhuwat. Tema pun “ukhuwah dieerat menjulang syariat”. Inilah rahmat Allah, mahu melihat adakah betul niat kita dalam membuat kerja. Semoga dengan ujian ini Allah meletakkan kita dibarisan orang yang tidak “bercakap sahaja”.

Segala apa yang berlaku, membuatkan saya terfikir. Agaknya inilah juga keadaan yang berlaku dalam kelompok pejuang Islam di Malaysia, Cuma dalam lapangan dan skop yang lebih besar merangkumi semua peringkat yangberbeza-beza. Tidak adakah jalan ukhuwah Islamiah yang boleh membina kembali ukhuwah Islamiah yang telah sedia terjalin. Kadang-kadang terdetik dalam hati saya mengapa orang-orang sebegini berintima’ dengan jamaah. Apa niat dan tujuannya. Kadang-kadang saya mahu sahaja menjadi orang yang berkecuali. Tapi itu bukanlah sesuatu yang sepatunya. Saya yakin Allah bersama dengan orang betul-betul terbukti taqwanya kepada Allah dan semestinya saya akan mengikut orang-orang seperti itu.

Saya betul-betul baru bertemu nilai kata-kata murabbi saya disini. KORBAN PERASAAN..SEORANG DAI’E MESTI SENTIASA ADA SIFAT KORBAN PERASAAN..

Kadang-kadang kita dimanipulasi oleh perasaan. Memang selalunya kita berada dibawah telunjuk perasaan. Rasulullah semenjak zaman kecil lagi dilatih untuk mengorbankan perasaan. Bahkan sejak lahir..sehingga baginda dipanggil oleh Allah. Tidak semua perkara boleh dilayan..Kata-kata manusia tidak boleh dihalang. Lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan masalah mengata peribadi. Tidak semuanya mesti diambil tahu. Kalau sudah tahu, selagi tidak membawa kepada kerosakan pada perkara yang lebih utama, tindakan yang paling awla’ dilakukan ialah KORBAN PERASAAN..


Korban untuk perkara yang lebih utama.


Bila saya fikir-fikirkan hal ini..saya jadi takut. Bagaimana saya akan menhadapi suasana dan keadaan yang lebih besar dari ini..Bagaimana saya boleh berdepan dengan pelbagai perkara nanti. Bila sudah pulang dan mahu berjuang..Sudah tentu banyak yang perlu dikorbankan..Terutamanya PERASAAN. Apabila sudah berkeluarga..mendampingi masyarakat..bersama para pejuang..menghadapi masalah hidup..masalah diri..dan segalanya..Mampukah saya mengorbankan perasaan saya… ~Allah..Berikanlah saya dan sahabat-sahabat saya kekuatan untuk berkorban keranaMu..

SALAM AIDIL ADHA..SEMOGA PENGORBANAN NABI ALLAH IBRAHIM KHALILULLAH DALAM MENGORBANKAN PERASAANNYA MENJADI CONTOH IKUTAN BUAT KITA PEJUANG AGAMA ALLAH SWT...

Saturday, November 14, 2009

Lagu Tema PERMAYA


video

Salam Alaikum..

Inilah lagu Tema PERMAYA yang baru..Dilancarkan hari inskpeksi PERMAYA baru2 ini. Sehari sebelum Inspeksi ianya selesai dicipta. Alhamdulillah...

Kepada sesiapa yang dengar lagu dari video ni..jangan gelak kuat2 sangat. Mula2 tu memang "bollok" sikit. Dah sehari mesyuarat sampai tersumbat kepala. Tetiba last program exco2 kena nasyid lagi...Sudah semestinya kebollokan itu diadaptasikan semahunya oleh para exco...Masa nasyid ni pun ramai yang dah balik..So, moodnya taklaa..berapa ada...

Ala kulli hal..Tahniah kepada para exco kerana berani menjadi artis pujaan ahli2 PERMAYA. Jangan lupa berlatih selalu..Tak lama lagi kita nak masuk studio buat recording..Amalkan gambir Sarawak ye..agar..suara sesedap Abang Presiden kite...

Mari semua..satukan tenaga..
Membulatkan tekad..Menuju cita-cita..
Rapatkan barisan..Satukan Ukhuwah..
Bersama Mengorak langkah...
Menuju Allah..
Kami Sedia Berkhidmat..Untuk Agama..
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman..
Maju Kehadapan..
Tetapkan Fikrah..
Mengikut Ajaran Rasulullah..
Kita Tautkan Jalinan Ukhuwah..
Manifestasi Keutuhan Ummah..
Korbankan Harta..
Walau Jiwa Dan Raga..
Pertahankan Syariat Allah..
Hingga Ketitisan Darah..
Penuhkan Ilmu Didada..
Kukuhkan Iman Dijiwa..
Agar Amalan Diterima..
Demi Matlamat Mulia..
Ukhuwah Dieerat..Menjulang Syariat..



Hak Cipta Terpelihara PERMAYA 2009/2010

Wednesday, November 11, 2009

Islam Di Persimpangan, Antara Kejahilan Ummah dan Kelemahan Ulama 1

Islam adalah satu agama yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan kemenangan. Ianya pernah melalui zaman kegemilangan dan kemasyhuran. Ianya juga pernah melalui liku-liku keruntuhan dan kebejatan. Sudah pasti pada waktu dan ketikanya ianya pasti kembali bersinar dan terpasak kukuh mewarnai dunia. Tetapi persoalanya adalah, bilakah saat-saat itu akan berlaku sedangkan apa yang menjadi realiti sekarang bagaikan sebaliknya?. Kita sentiasa mendengar bahawa zaman mutakhir ini ialah zaman dimana Islam sedang mendaki kembali jurang kelemahan dan menuju kearah kegemilangan. Tetapi menurut perspektif yang lain pula, terdapat usaha tangan-tangan penganutnya sendiri yang begitu giat mencampak dan menjerumuskannya kembali ke jurang tersebut.

Seringkali diibaratkan bahawa Islam itu bagai air tenang yang sentiasa mengalir tidak akan putus. Tetapi dengan suasana yang berlaku dewasa ini, ianya bagai semakin perlahan dan tersekat-sekat bagaikan keliru untuk meneruskan alirannya lantaran hanya bertemu dua persimpangan yang bakal membekukannya. Mengalir ke laut bakal bertemu dengan kejahilan ummah, mengalir ke sungai disekat dengan kelemahan ulama. Keadaan serba salah ini sudah pasti akan menyebabkan aliran suci Islam bakal terhenti dan membeku seterusnya menjerumuskan kembali agama suci ini kedalam jurang kelemahannya kembali.

Fenomena Kejahilan Ummah Yang Menyedihkan

Suasana abad ke 21 ini bukan sahaja menyaksikan kepesatan pembangunan tamadun manusia, malah ia juga memaparkan satu episod kejahilan ummah moden yang melangkaui zaman kegelapan jahiliah umat-umat terdahulu. Melihat kepada senario yang berlaku di negara-negara umat Islam secara khusus, kita akan mendapati tahap kejahilan yang berlaku adalah amat serius dan tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di barat. Akibatnya, negara-negara ini terus dijajah dan dikuasai tamadun dan pemikirannya oleh pihak barat yang memang sentiasa menginginkan keadaan itu berlaku.

Secara ringkasnya kita dapat melihat fenomena ini adalah diantara dua aspek yang saling kait mengait antara satu sama lain. Kejahilan dari sudut akidah dan pegangan atau kejahilan dari sudut hukum dan aplikasi konsep keagamaan dalam kehidupan. Bilamana kita bercakap soal kelemahan pegangan akidah sudah tentu ianya bertitik tolak daripada tahap dan nilai keimanan seseorang manusia terhadap penciptaNya. Terlalu ramai dikalangan umat Islam dewasa ini bagaikan sudah tidak kenal agamanya. Mereka hanya dikenali melalui nama Islamnya dan status keagamaan yang terdapat pada kad-kad pengenalan. Itupun sering dipertikaikan kebebasan dan keperluannya. Mereka bukan sahaja tidak mengenal Islam, malah budaya dan adat resam bangsa yang berasaskan keagamaan yang betul semakin hari semakin dilupakan bahkan dianggap ketinggalan zaman dan menghalang kemodenan. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan mereka yang bermati-matian memperjuangkan ideologi tersebut diatas nama kemodenan dan hak asasi manusia . Tak kurang juga yang dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran bagaikan pejuang bangsa dan kemerdekaan hasil dari fikrah songsang yang mereka perjuangkan.

Keadaan ini boleh dilihat pada segala sudut dan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat pada umat Islam kini. Lihat sahaja muda-mudi dimana-mana negara umat Islam. Secara umumnya mereka adalah golongan yang paling banyak terkesan dengan kanser akidah dan ideologi ini. Mereka bukan sahaja berpakaian dengan pakaian yang tidak melambangkan imej Islam, bahkan tanpa segan silu dan berbangga dengan pakaian-pakaian yang melambangkan agama lain dan ideologi-ideologi sesat. Itu belum lagi disebut soal aurat dan pakaian dari sudut agama dan menepati sunnah.

Hasil dari kejahilan akidah dan pegangan tersebut, maka ianya sudah tentu akan melahirkan satu bangsa dan generasi yang sangat jahil dari segi hukum dan perlaksanaan konsep keagamaan dalam kehidupan. Yang lebih menyedihkan, mereka lebih suka mempertikaikan hukum-hukum Islam daripada mempelajari dan merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Malah mereka juga lebih suka menafsir dan mengolah hukum mengikut kesesuaian hawa nafsu mereka sendiri. Keadaan ini menjadikan mereka semakin hari semakin jahil dan jauh terpesong dari panduan dan hidayah Islam yang sebenar.

Realitinya, kesan dari kejahilan yang berlapis-lapis dari dua sudut diatas sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah dan kekeliruan dalam diri individu muslim, masyarakat dan negara umat Islam. Masalah yang paling jelas dan meruncing ialah masalah keruntuhan akidah yang sangat parah. Kes murtad dengan peratus yang sangat tinggi, ajaran sesat yang sangat berleluasa dan juga hukum-hukum agama samada dalam perkara dasar dan cabang yang sering dipermain dan dipertikaikan.

Kanser akidah ini terus merebak sehingga menzahirkan pelbagai symptom dan penyakit zahir yang melemahkan jiwa dan jasad masyarakat Islam. Lihat sahaja masalah gejala akhlak dan moral yang sudah tidak terbendung lagi. Ianya bertitik tolak daripada kepimpinan negara yang lemah dan sistem pendidikan negara yang lompang disana-sini serta undang-undang ciptaan manusia yang sudah terbukti jelas tidak mampu menyelesaikan masalah manusia. Keadaan ini bertambah buruk dengan kemasukan tanpa kawalan pengaruh budaya barat yang sesuai dengan nafsu serakah manusia dan melawan fitrah kemanusiaan dan tuntutan agama.

Selain itu, masyarakat Islam juga dijangkiti dengan virus ideology yang meyeleweng dan tersasar jauh dari panduan dan tuntutan Islam yang sebenar. Mereka lebih suka mementingkan kebendaan dan apa yang zahir dipandangan mata. Idealisma-idealisma songsang seperti Liberalisme, Pluralisme, Hadharisme, Sekularisme dan bermacam-macam lagi isme sesat semakin diterima pakai dan dijadikan pegangan dalam perjalanan kehidupan. Malah perjuangan memartabatkan fikrah-fikrah tersebut dibuka luas dan diberi segala macam kemudahan terutamanya melalui media massa samada media elektronik dan media cetak.

Penyakit-penyakit rohani dan jasmani yang disebutkan tadi akhirnya menyebabkan ummah hilang kesatuan dan berpecah belah. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman di dalam surah Yunus :

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

Sebab utama kedaan ini seperti yang disebutkan diatas ialah mereka menurut hawa nafsu dan syaitan dengan menolak, melupakan dan mengabaikan hukum-hukum Allah serta menganggap ianya adalah tidak wajib dan perkara yang kecil sahaja. Dengan berterusannya keadaan ini, akhirnya Allah SWT menanamkan sifat kebencian dan permusuhan di dalam hati-hati mereka. Hal ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah Al Maai'dah :

Dan diantara orang-orang yang berkata " bahawa kami ini orang-orang Nasrani", kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka. maka mereka juga melupakan (meniggalkan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang mereka kerjakan.

Bersambung...

Monday, July 27, 2009

Liqa' IKMA (Ex IB&MTT) Pakat Turun Belaka Weh!!..


Lama sungguh tak update blog ni. Agaknya memang dicipta untuk tidak diupdate kot..Ingat bila balik Malaysia, masa makin banyak untuk menulis. Anyway, hanya orang yang membazir masa yang mengatakan tak cukup masa...Muhasabah...muhasabah..

Tak dapat nak tulis panjang..Banyak lagi awlawiyat nak kena buat. Cuma nak makulumkan pada sahabat sahabiah..Liqa' sulong IKMA (Lepasan IB & MTT) dengan Ayah Chik 9 hb ni kat Taman Melewar..Pakat pergi belaka weh..

Keluarga besar Muassasah Islamiah Berakan (kini YAKEP) bakal bertemu...Disana..ukhuwah dan cinta Islam mula berputik...Jupe Deme Semua Dinung!!...

Allahumma Innaka Ta'lam Anna Haazihil Qulub Qadijtama'at Ala Mahabbatik...

Wednesday, July 15, 2009

Kemenangan Manek Urai-Tahniah Dan Muhasabah



Salam untuk semua…


Sudah agak lama saya memencilkan diri dari arena blog ini. Seingat saya semenjak mula musim jihad exam awal bulan 6 yang lalu hinggalah sekarang. Bukan tiada masa, tapi tidak pandai mencuri masa. Tapi tak mengapalah, asalkan boleh mengupdate sedikit sebanyak ni pun kira bolehlah.


Saya kini berada di Malaysia. Sudah seminggu menjejakkan kaki ke tanah air. Dalam masa seminggu ini sudah banyak kerja buat yang dilakukan. Kalau ingin diceritakan semua sudah tentu kena kerja jadi blogger sepenuh masa. Kini boleh dikatakan sepenuh masa saya berada di unique lighting. Semua adik beradik tak ada. Maksud saya, semuanya sibuk dengan pengajian dan kerja. Hanya saya seorang sahaja yang cuti mencari gaji.


Saya baru sahaja kembali dari MU atau Manek Urai. Tak sangka di Malaysia pun ada MU. Mungkin selama ini, tak siapa pun tau ada MU di Malaysia. Hehe. Pemerhatian selama 2 hari banyak memberikan maklumat baru buat saya. Saya tidak bertugas di mana-mana peti undi, hanya mengikut rombongan pimpinan dari Terengganu meninjau di 8 peti undi MU. Hanya Manek Urai lama yang kami tidak berkesempatan untuk memantau keadaan disana.


Secara keseluruhannya, suasana PR agak tenang kecuali di kawasan2 utama seperti di peti undi Peria. Saya “tawaf” di kawasan itu hampir 10 kali. Ketenangan suasana pengundian di ganggu oleh insiden baling membaling seperti yang dilaporkan dalam Buletin Utama. Saya tidak mahu mengulas panjang insiden ini. Cukuplah dengan mengatakan kalau di mata BN dan Buletin Utama PAS lah puak2 jahat yang memulakan segala kekacauan. Setaip kali PR di mana2 pun begitu. Biarlah, bukan orang dan rakyat tak tahu siapa yang sentiasa ganas. Insiden seorang pemuda PAS dibelasah oleh 2-3 orang pemuda BN tak dilaporkan pulak dalam Buletin ye!!. Kalau nak tau lebih lanjut tentang insiden ini, bolehlah baca di blog Cikgu Fauzi (cikgufauzi.blogspot.com)


Apa2 pun kemenangan sudah berpihak kepada PAS. Alhamdulillah..Walaupun Cuma dengan majoriti 65 undi yang boleh dikatakan sangat sedikit. Moga2 ianya menjadi muhasabah yang berterusan buat PAS Kelantan. Memang itu yang disebut2 oleh banyak petugas2 PAS yang ditemui khususnya yang datang dari luar Kelantan. “ InsyaAllah kita menang tapi biarlah dengan majoriti yang sedikit, biar Pas Kelantan sedar sedikit”. Itulah kata2 yang banyak diungkapkan. Saya secara peribadi juga merasa agak kecewa dengan apa yang berlaku dalam PR kali ini. Ada pemimpin PAS yang digam dari kempen dan ceramah, ada gambar2 dan poster yang dilarang untuk ditampal dan macam2 lagi. Saya tidaklah mahu menyentuh tentang isu2 dalaman PAS, tetapi dengan keputusan yang ada ini moga2 ianya menjadi titik noktah kesedaran PAS Kelantan supaya mengoreksi diri apa yang patut dilihat dan diubah. Ala kulli hal..Islam menang!!~. ALLAHUAKBAR!!..


Dalam keseronokan memerhati itu, saya cuba mengumpul maklumat tentang kekuatan PAS di MU yang memungkinkan kemenangan PAS di sana. Sebelum itu saya dimaklumkan yang UMNO cuba menggunakan strategi menjadi “malaikat” di MU. Rakyat MU disogok dengan pelbagai benda dan kemudahan. Tak cukup dengan duit, projek jambatan dan Bandar Agropolitan serta kata-kata manis, segala benda seperti peti sejuk, periuk nasi dan pelbagai barangan elektrik difaraidkan kepada penduduk MU. Sasarannya orang2 hardcore PAS. BN lebih berani dengan menaburkan gula2 mereka kepada orang2 yang berdarah hijau asli. Penyokong yang “confirm BN” dianaktirikan. Mereka masuk ke rumah orang hijau ini dengan menggunakan pelbagai jentera kerajaan seperti Kasedar dan Risda. Dengan itu, orang PAS ini tidak akan on the spot menghalau mereka dari rumah2 mereka. Orang PAS yang menerima “bantuan” ini juga disuruh supaya jangan menurunkan bendera2 PAS atau poster2 pemimpin di dinding2 rumah mereka. Penyogok2 ini tidak sekali-kali memakai lambang BN dalam gerak kerja mereka. Ditambah lagi Tuan Aziz (calon BN) agak mesra dan lebih dikenali dikalangan penduduk MU. Memang kita menerima laporan yang stretegi BN ini agak menjadi dalam PR kali ini.


Tetapi apa yang menjadi kekuatan kepada PAS di MU walaupun disogok sebegitu rupa?. Setelah melihat dan meniliti dengan baik, saya melihat PAS ada beberapa di Manek Urai dan beberapa perbezaan yang ada di MU membuatkannya sedikit berbeza dengan kawasan2 yang lain.


Pertama, majoriti penduduk MU adalah pendatang. Maksud saya bukanlah pendatang asing, tetapi orang2 yang bukan asal dari MU. Ramai dikalangan meraka yang datang dari luar kawasan MU seperti Pasir Puteh dan Bachok yang mana pengaruh PAS melalui keluarga asal mereka masih lagi amat kuat.


Kedua, penduduk2 MU ini kebanyakannya di”bela” oleh Kasedar. Tetapi yang menariknya kebanyakan pegawai2 Kasedar ini orang hijau. Walaupun mereka ditugaskan untuk membahagi-bahagikan barang sogokan kepada pengundi-pengundi MU, maklumat dan senarai nama penerima “bantuan” ini sampai kepada pihak PAS secara terus dan lengkap. Orang-orang yang menerima bantuan ini pula tetap mengundi PAS walaupun diberi dengan pelbagai pemberian.


Ketiga, walaupun penduduk2 di MU ini boleh dikatakan pendalaman dan mejoriti mereka adalah petani dan peneroka. Mereka ini berbeza dengan penduduk2 seperti mereka di kawasan2 lain seperti Kuala Berang, Ajil dan Jerangau di Terengganu. Kebanyakan merak aorang-orang yang agak kuat pegangan agamanya dan 80% dari mereka “orang surau”. Ditambah lagi kepala-kepala masyarakat seperti para Imam dan penghulu kesemuanya hardcore PAS dan menjadi rujukan utama orang2 kampung dan penduduk2 MU mendengar kata2 mereka.


Kesemua sebab ini mendorong dan menjadikan MU tidaklah menjadi kebimbangan besar PAS Kelantan untuk mempertahankannya dari ancaman BN. Tetapi keputusan PR semalam agak memeranjatkan mereka. Ada yang mengatakan ianya berkaitan dengan sokongan pengundi muda. Ada yang terus mengaitkannya dengan keghairahan pengundi memakan duit dan sebagainya. Saya berkesempatan untuk bersama2 minum kopi dengan petugas2 PAS yang berjawatan di Kelantan dan MU. Gaya bahasa mereka yang terlalu yakin sehingga mengeluarkan kata2 yang boleh dikira agak sombong. Saya berharap semoga keputusan ini dapat memberi inzar kepada mereka yang berkenaan supaya muhasabah dan mengubah gaya kepimpinan kepada yang lebih suci dan berakhlak. Jangan pula selepas ini ada yang mengaitkan kemerosotan undi ini dengan keterlibatan pemimpin PAS pusat dalam PR kali ini..


Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh!!


* Gambar tak sempat upload, dalam kamera lagi. Belum transfer. Sory maa..


Sunday, June 21, 2009

Malam Nostalgia PLPDT-JOM JOIN!!



Salam sejahtera pada semua sahabat-sahabiah.

Patutnya takde entry dah blog ni minggu jihad imtihan ni. Tapi rasa bertanggungjawab pulak bila ada mesej kat chatbox minta tolong sebarkan program Malam Nostalgia Persatuan Lepasan Darul Taqwa (PLPDT) ni. Kesian pulak kat diorang. Nampak macam letih. Buat kerja tak ada gaji memang macam tulah...Lagipun kepimpinan kali ni nampak memang mantap. Saya dulu pun pernah jadi kepimpinan PLPDT. Tak silap tahun 2005. Cuma sempat hadir mesyuarat 2 kali agaknya masa tu. Saya kena pergi Syria. Tak sempat buat apa2. Lepas tu saya tak dengar lagi apa2 aktiviti. Agaknya memang tak de aktiviti langsunglaa..kot.

Masa kat Syria dulu, selalu je bincang dengan Jailani nak khidmat untuk Darul Taqwa dan ustaz-ustazah DT selepas habis study & balik Malaysia. Banyak yang dirancang. Last2, Jai yang balik dulu dan terbukti dia tak cakap saja. Memang khidmat untuk DT pun. Mubarak alaik ya Akhi!!.

Ala kulli hal..tahniah buat kepimpinan kali ni. Semoga terus thabat dan istiqamah. Ana tau memang tak mudah buat antum dalam keterbatasan yang sangat banyak. InsyaAllah, moga ianya menjadi noktah bidayah yang baru buat PLPDT dan semoga Allah membalasnya dengan sebesar2 ganjaran.

Alamak, dah banyak sangat dah melalut ni..sebenarnya nak promosi program PLPDT yang terbaru ni. Malam Nostalgia PLPDT bersama perintis-printis Darul Taqwa. Sedap bunyinya..Cuma saya tak faham apa maksud perintis tu. Program bersama student-student DT ke apa?. Tak bolehlaa..nak terangkan pada sahabat2. Segala keterangan ada pada poster kat atas. Program bersama Ustaz Harun Taib. Rugi kalau tak pergi tu. Kat restoran As Syakirin pulak tu. Makan sedap kat situ tu. Tak silap restoran Ibrahim tu. hehe. Kupon satu kepala 20 ringgit. Nak bawak family pun boleh. Program yang tentu2nya meriah, bermanfaat dan mengimbau kenangan lama DT.

Kepada sahabat-sahabat di luar sana..Tunjukkanlah rasa sayang kita kepada sekolah yang telah mengenalkan pada kita erti Islam dan perjuangan..Berikanlah sekadar yang termampu. Ingatlah jasa ustaz-ustaz yang bersusah payah untuk kita pada zaman dan waktu yang sangat mencabar dahulu..Sekolah yang telah melahirkan beribu-ribu pelajar yang kenal perjuangan Islam dan memperjuangkan Islam..Yang memberikan kepada kita jutaan mutiara yang tak akan dapat dicari di mana2 sekolah kerajaan..Sama-sama tunjukkan komitmen kita pada DT walaupun kita bukan lagi pelajar DT. Jangan rasa malu untuk bertemu guru-guru kita dahulu. Kerana sekali mereka menjadi guru kita, selamanya mereka tetap guru kita walau sejauh mata kita terbang tinggi..Kenapa perlu malu..Tak ada sebab langsung untuk itu.

Sama-samalah hadir beramai2 ke majlis tu. Ajaklaa..semua kaum kerabat. Nak ajak kerabat diraja pun boleh. Saya klau ikut hati memang nak join sekali, tapi apakan daya. Jauh beribu batu..Kepada sahabat2 blogger ex DT, sebar-sebarkanlah program ini. Sebarkan perkara yang baik akan menatijahkan pada kita pahala dan ganjaran yang baik dunia dan akhirat. Sebarang maklumat lanjut, bolehlaa..melayari blog PLPDT- http://www.plpdt.blogspot.com/.


Guru Kunci Kejayaan Kami

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .