Monday, July 7, 2008

Ku Damba Keredhaan Di Dua Perhentian




Allahumma Baariklana Fi Syaamina….
Allahumma Baariklana Fi Yamanina….

Doa dari kalam junjungan mulia Muhammad SAW. Alhamdulilllah, Aku diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai nikmat di dua negeri yang penuh berkat ini.

Hampir dua tahun aku bertapak di Syam..,aku kini merasai naungan langit Yaman. Perbezaan yang amat ketara aku rasakan. Bukan sesuatu yang mudah untuk mendapat peluang mengenal dunia arab. Tapi banyak kali aku terfikir, mengapa didalam berpuluh Negara arab yang lain, Allah letakkan aku disini. Di Syam dan Yaman. Aku telah berpeluang merasai bumi Mesir, Tanah Al Haramain, Lubnan dan Jordan, tetapi hatiku tetap di Syria dan Yaman. Mungkin ada kena mengena dengan sifat, tingkah laku dan kecenderunganku. Mungkin aku tidak layak dan sesuai dengan Al Haramain biarpun betapa bersungguhnya keinginan dan langkah buatku suatu ketika dulu untuk menuntut ilmu disana. Mungkin juga aku tidak akan betah di Mesir dan Jordan serta sudah pasti Lubnan langsung tidak didalam senaraiku.

Dua tahun di Syam ketika aku sudah betul betul jatuh cinta padanya, tanpa silap dan salahku Allah telah jadikan aku dikalangan orang yang diblacklist oleh kerajaan dan imegresen Syria. Aku dipaksa pulang ke tanah air. 8 bulan di bumi kelahiranku, aku merasai betapa hikmahnya kerja buat yang Maha Esa. Di sana Allah telah mengujiku dengan satu ujian yang amat hebat. Permainan hati yang hampir menyebabkan aku tewas dan hilang punca. Hingga kini kumasih mencari hikmah disebalik yang terjadi. Ku harap ia akan muncul tak lama lagi. Tapi sifat manusia yang terkadang memberontak, membuat aku seringkali mencipta hikmah sendiri. Mujurlah ia tak lama dan aku kembali berdiri sendiri. Apa pun percaturan Allah, aku yakin ada manis dan penawar disebaliknya. Betapa aku menghargainya walaupun pahit dan amat berbisa. Pengalaman yang tak mungkin ku lupakan selagi hayat dikandung badan.

Tak dapat kembali ke Syam, membuat aku diuji lagi. Monologku sendirian ketika itu mengundang benci diri dan pertikaian pada keputusan Allah. Aku bengang dan sangat marah. Tapi tidak tahu kepada siapa. Setelah dua tahun tidak dapat melanjutkan pelajaran, aku diberi peluang di Syam dan ku anggap berjaya disana., akhirnya tanpa silapku, aku terpaksa kembali memulakannya dari awal. Satu perkara yang tidak adil pada bagi aku pada ketika itu. Biarpun aku mebuat andaian andaian yang ijabiy, bayangan salbiy terlalu kuat. Aku kerap membayangkan diriku seperti watak didalam cerita fiksyen barat yang adanya dua malaikat. Di sebelah dikanan bersayap dengan baju dan bulatan putih membisikkan kata kata lembut dan positif. Disebelah kiri pula berekor dan bertongkat menghasut dengan bisikan jahat dan negatif. Mana mungkin aku mendengar bisikan Sang Ekor. Sudah pasti ku jentik hingga ke planet Musytari. Lucu sekali….Ternyata aku hanya memarahi diri sendiri. Ku intai sedalam-dalamnya maksud lafaz mulia kalam Ilahi :

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(Al Baqarah 216)

Teringat kepada kata kata sahabat baikku menerusi tajuk artikelnya “Rahmat Ujian”. Baru aku terfikir,mengapa tidak aku jadikan ujian itu sebagi rahmat?. Kalau aku redha dengan ujianNya, mungkin Allah akan lebih memandangku dan meredhaiku. Moga rahsia keagungan cinta Allah dan para Rasulnya akan dapat ku rasai cebisannya. Allahumaftah li abwaaba mardhhaatik. Amiinn..
Sehingga kini kurasakan aku hanya diuji dengan ujian dalaman bukan luaran. Apalah sangat jika nak dibandingkan dengan ujian para pejuang Islam di medan. Lansung tak layak untuk dibuat perbandingan. Apa yang akan berlaku jika aku diuji seperti mereka??. Tak dapat aku bayangkannya..

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
(Al Ankabut 2&3)

Aku berkira-kira ingin terbang ke Yaman. Ditambah dengan masalah dan bengang tak dapat ke Syam mempercepatkan pertimbanganku untuk ke Yaman. Gambaran Yaman yang cukup menarik telah lama hidup gembira didalam benakku menerusi cerita-cerita dari abangku yang juga bekas pelajar Yaman membantuku didalam membuat keputusan. Aku yakin dengan keberkatan bumi Syam dan Yaman menerusi hadith-hadith Rasulullah. Aku bakal merasai keberkatan adik kepada Syam. Yaman…..

Sedar tak sedar, genap dua bulan aku di Yaman. Tiada kata yang dapat aku gambarkan. Segala ujian di Malaysia kurasakan amat berbaloi. Disini aku mendapat segala jawapan. Walaupun 100% hikamahnya belum kutemui. Aku merasai adanya ketenangan walaupun tingkah laku orang Yaman bagiku masih lagi agak primitif dan kemajuannya ketinggalan jauh dibelakang jika nak dibandingkan walaupun dengan bumi Terengganu. Ketenangan yang ku rasakan lain dari yang lain. Yang paling terkesan padaku ialah disini aku jauh dari maksiat pada Allah. Bagiku semua terjaga samada luaran mahupun dalaman. Benarlah sabda baginda Rasulullah SAW:

Iman itu Yaman…dan kefahaman itu Yaman…dan kebijaksanaan itu Yaman...
Rasulullah tidak pernah menjejakkan kakinya ke bumi Yaman, akan tetapi Baginda mengenalinya lebih daripada anak watan negeri itu. Salah satu mukjizat yang jelas terbukti dengan tersergamnya masjid Kabiir tepat berkiblatkan kaabah di bumi Mekah. Binaan mulia Sa’ad bin Abi Waqas aplikasi wasiat Rasulullah SAW ketika bertapak di Yaman. Aku kini sedang merasai serpihan dari mutiara hadith baginda SAW dan aku berazam untuk mengutip lebih banyak lagi untukku bahagikan pada anak watanku. Ternyata Syam masih belum mampu menanggalkan keras daki dosa dihatiku. Kukira waktu ini Yaman lebih bertenaga untuk mengerahkan kudratnya mentarbiyahku. Walaupun sehingga kini aku masih merasakan Syam terlalu istimewa dan nombor satu dihatiku, Yaman mampu mengubatinya. Perasaan istimewa ini abstrak dan tak mampu untukku jelaskan. Benarlah kata hukamak, Man zaaqa arafa. Siapa yang merasainya, dia sahajalah yang tahu.

Syam….akanku kembali padamu. Tapi biarlah ketika itu aku sesuai untukmu.
Yaman…didiklah diriku agar fitrah suciNya kembali padaku...
Ya Allah…jadikanlah keberkatan dua bumimu ini sebati denganku agar dapat ku lebarkannya di bumi tempat tumpahnya darahku…Amiin..

3 comments:

saffa@srar said...

nice artikel!(",)
" Bila keyakinan itu di hati...yakin pada yg satu...kita tidak akn menyesal sampai bila2.."

Anonymous said...

Wow, ni email sy izzuddin_theleader@yahoo.com

Anonymous said...

subhanaALLAH...
saya dulu pelajar Jordan dan berpeluang belajar di syiria selama hanya 2 bulan, tetapi rasa aman dan tenang 2 bulan tidak sama belajar 2 tahun di Jordan.

sungguh syam itu bumi barakoh, dan tak kan pernah menyikit rasa rindu pada debu kota dimasyq!

moga ALLAH sentiasa melindungi dan selamatkan dimasyq!

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .