Wednesday, April 22, 2009

Mukjizat Rasulullah SAW - Siri 1- Pembelahan Bulan


"Zi, bahas enta siap tak lagi?." Tanya seorang sahabat. Saya terfikir-fikir, ada ke assignment yang perlu disiapkan. "Bahas apa pulak?."Balas saya. "Laa..enta ni,bahas aqidah tentang mukjizat Rasulullah tu. Orang lain semua dah nak siap. Minggu ni kena hantar". MasyaAllah!!..saya langsung tak ingat!. Terus saya teringat buku Bayyinaat Ar Rasul Wa Mukjizatihi karangan Syeikh Abdul Majiz Az Zindani. Malam ni kena mula buat jugak macam mana pun azam saya!.

Pada malamnya saya mula membelek-belek kitab itu. Saya terfikir sendirian..Selama ini, kita selalu mendengar tentang mukjizat nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain. Banyak yang kita tahu. Tapi Rasulullah SAW, terlalu banyak mukjizat baginda yang kita tak tahu atau tak ambil cakna. Setakat sikit-sikit tu adalaa…Para pejuang Islam sendiri kalau ditanya, berapa kerat sangat yang boleh menjawabnya. Setakat 2 atau 3 mukjizat tu tahulah kot. Tak payah pergi jauh, saya sendiri setelah berkira-kira hanya 5 mukjizat sahaja yang ada dalam kepala. Rasa malu pada diri sendiri. Padahal hampir 50 mukjizat baginda SAW yang ada tercatat di dalam kitab-kitab hadith. Saya berkata sendirian..Tentang mukjizat ni kalau diterjemah dan dikongsi dengan sahabat-sahabat pun elok jugak. Lagipun adalaa..jugak idea nak letak dalam entry blog. Boleh buat bersiri lagi. Tapi tak nak laaa..tabahhur atau lebih-lebih sangat sampai nak cerita tentang sains Al Quran atau apa-apa. Sekadar cerita mukjizat saja tu bolehlah. Kalau ada tambahan sikit-sikit tu bolehlaaa nak cerita. Nak buat artikel pada benda-benda lain rasanya dah tak ada masa. Banyak sangat tugasan sekarang.

INSYIQAAQUL QAMAR (PEMBELAHAN BULAN)


Saya pasti sudah ramai diantara kita yang tahu tentang peristiwa pembelahan bulan yang berlaku pada zaman nabi SAW di Mekah. Ianya berlaku sebelum hijrah baginda SAW ke Madinah. Peristiwa bersejarah ini ada diabadikan di dalam Al Quran dan kitab-kitab hadith dan Sirah yang muktabar termasuk Sahih Bukhari dan Tirmizi.

Pada suatu ketika, kaum kuffar dan musyrikin Mekah telah meminta Rasulullah SAW memperlihatkan kepada mereka alamat dan tanda-tanda kebenaran kenabian baginda SAW. Anas r.a telah berkata tentang hal ini bahawa Rasulullah SAW telah diminta oleh ahli Mekah supaya memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kebenaran dakwaan kenabian baginda Rasulullah SAW. Maka baginda pun menunujukkan kepada mereka bulan yang terbelah dua sehingga semuanya dapat melihat gua Hira' di antara dua belahan tersebut.

Abdullah bin Mas'ud r.a pula berkata seperti yang tercatat di dalam Sahih Bukhari bahawa bulan telah terbelah kepada dua dan ketika itu kami berada bersama Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW pun berkata kepada mereka, saksikanlah!..saksikanlah!. Di dalam riwayat yang lain ada menyatakan bahawa ketika peristiwa itu mereka semua berada di Mina.

Perkara besar ini juga diakui di dalam hadith-hadith yang lain sepertimana yang disebut oleh Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar r.anhuma.

Allah SWT telah mengabadikan peristiwa agung ini di dalam kertas kerjaNya dan bagaimana kaum musyrikin ketika itu yang mendustakan mukjizat ini serta mendakwa ianya sihir. Sepertimana yang disebut di dalam surah Al Qamar ayat 1 hingga 3

Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).

Kisah penolakan kaum kafir seperti yang disebut di dalam Al Quran ketika melihat mukjizat ini juga agak lucu. Abu Jahal yang melihat peristiwa ini dan juga salah seorang antara ketua kuffar Mekah ketika itu mengatakan" Muhammad telah menyihir kita semua, tetapi dia tidak akan dapat menyihir semua penduduk di dunia ini. Mari kita menunggu sehingga penduduk-penduduk di hujung Mekah datang. Kalau mereka mengatakan mereka juga melihat bulan telah terbelah, maka benarlah Muhammad dan kalau mereka mengatakan yang sebaliknya, maka kita semua akan tahu bahawa ianya adalah sihir semata-mata". Apabila penduduk-penduduk di hujung Mekah datang kepada mereka dan mengatakan mereka melihat bulan telah terbelah, Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya terus berkata, "Wah!, sungguh hebat sihir Muhammad!".

Ibnu Hajar Al Asqolani juga ada berkata bahawa hadith yang menceritakan tentang pembelahan bulan ini ada disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali, Huzaifah bin Yaman, Jabir, Ibnu Math'am, Ibnu Umar dan lain-lain sahabat. Perkara ini juga disebut oleh seorang muhaddith, Ibnu Abdul Bar bahawa peristiwa ini diriwayatkan oleh sebahagian besar sahabat baginda SAW dan juga para Tabi'en selepas mereka serta dinaqalkan daripada sekumpulan muhaddithin yang ramai sehingga sampai dan berakhir kepada kami. Ditambah lagi dengan dalil Al Quran yang menyokong perkara tersebut. Maka tidak ada alasan untuk berlakunya uzur (pertikaian kebenaran peristiwa ini).

Al Khattabi juga ada mengatakan sepertimana yang disebutkan di dalam Kitab Fathul Bari bahawa peristiwa pembelahan bulan ini adakah satu mukjizat dan tanda agung yang tidak dapat dipertikaikan sesuatu pun tentang kebenaran tanda-tanda kenabian. Ianya berlaku di angkasa raya yang diluar dari tabiat semulajadi alam semesta yang berlapis-lapis. Maka tidak ada alasanlah bagi mereka yang ghairah mahu mempertikaikan peristiwa ini dengan helah-helah yang lain. Maka dengan itu, jadilah bukti-bukti yang telah dinyatakan lebih kuat dan jelas.

Melihat kepada perspektif sains dan suasana kontemporari, peristiwa ajaib ini telah dibuktikan dan diakui oleh beberapa saintis-saintis termasuk mereka yang bukan beragama Islam sehingga dengan kebenaran peristiwa tersebut menyebabkan mereka memeluk agama Islam.


Terdapat satu kisah yang sangat masyhur berkenaan seorang poiltikus dan ahli ekonomi Britain, Daud Musa Bikuk yang membentuk parti Islam di Britain selepas keislamannya dan sekarang menjadi presiden di dalam parti tersebut. Cerita tentang sebab keislamannya adalah begini. Dalam beliau sedang mencari-cari maklumat dan kebenaran tentang agama, seorang sahabatnya telah menghadiahkan kepadanya senaskah Al Quran terjemahan di dalam bahasa Inggeris. Beliau pun membaca terjemahan tersebut sehinggalah sampai kepada ayat pertama surah Al Qamar yang menceritakan bahawa bulan telah terbelah dua. Dia terus berkata penuh rasa pelik dan janggal,"tengok ni!!, bulan telah terbelah??!!". Lantas beliau menutup Al Quran tersebut dan tidak membukanya lagi.

Tidak berapa lama kemudian, semasa beliau sedang menonton sebuah rancangan di dalam siaran televisyen BBC yang memaparkan perbincangan antara stesen penyiaran tersebut dengan tiga orang ahli sains dan astronomi Amerika yang berkerja dengan pihak National Aeronautics & Space Administration (NASA). Stesen tersebut menyalahkan Amerika kerana membelanjakan berbilion dolar untuk projek angkasa dalam masa yang sama berjuta-juta manusia menderita akibat kemiskinan.

Ahli sains tersebut cuba untuk menerangkan sebab dan alasan mengapa projek eksplorasi angkasa ini sangat penting dan akhirnya menyatakan projek itu menelan belanja sebanyak 100 bilion dolar. Stesen itu mempertikaikan lagi dengan menyatakan " kamu membelanjakan duit yang sangat banyak hanya untuk meletakkan bendera Amerika di bulan dan hanya untuk mencari persamaan apa yang ada di bulan dan di bumi?". Ahli saintis itu menjawab lagi dengan pelbagai alasan sehingga akhirnya membawa kepada perbincangan penemuan belahan yang ada di bulan yang dipanggil Belt Of Rocks atau lingkaran garisan batuan yang memanjang bermula dari atas permukaan bulan sehingga sampai ke bahagian dalam bulan yang sangat dalam. Mereka yang sangat terkejut dengan penemuan ini memberikan maklumat tersebut kepada ahli geologi mereka yang juga sangat terkejut bila mengetahui hal tersebut. Mereka akhirnya membuat kesimpulan dengan mengatakan perkara tersebut tidak mungkin dan mustahil terjadi kecuali bulan pernah terbelah dua dan kembali bercantum. Batu-batuan yang berlapis-lapis dan berlanggaran antara satu sama lain itu adalah kesan impak atau perlanggaran apabila berlaku proses dua bahagian bulan yang terpisah bercantum kembali.

Mendengar dan melihat apa yang dipaparkan di hadapan matanya, Daud Musa terus terlompat dari duduknya dan menyatakan " Ini adalah mukjizat Muhammad yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu, dan sekarang orang-orang Amerika membelanjakan berbilion dolar untuk membuktikannya kepada orang-orang muslim". Dia kemudian berkata lagi " ini semestinya agama yang benar". Akhirnya surah Al Qamar yang pada mulanya menyebabkannya tidak mempercayai Islam akhirnya menjadi sebab kepadanya untuk memeluk Islam.

Menurut sumber sains yang lain pula, Allah SAW sengaja mencantumkan bulan selepas pembelahannya secara berbeza dan bukan dengan keadaannya yang asal. Ini dapat dilihat apabila kita meneliti garisan belahan bulan yang melingkungi bulan. Garisan tersebut seperti berbeza dan lari sedikit daripada keadaannya yang asal. Kesan itu terlihat pada bukit-bukit, gunung-gunung dan kawah-kawah yang berada pada garisan belahan bulan yang memanjang. Maksudnya kalau hujung kawah yang berada di sebelah kanan ketika ianya terbelah, setelah bercantum ianya tidak betul-betul menyamai dengan hujung kawah sebelah kiri yang separuh lagi. Kesan yang sama terlihat di bukit-bukit dan gunung-gunung di bulan sepanjang garisan belahan bulan. Subhanallah..Allah sengaja meninggalkan kesan yang sememangnya tidak kebetulan itu untuk memperlihatkan kebesaranNya dan kebenaran baginda SAW kepada kita manusia yang hidup di akhir zaman ini.

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka Bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) Bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu-Fussilat-53

2 comments:

Saifullah Hussin said...

power mengi'jazkan diri :))

Anonymous said...

bgus bahas demo jie..leh gok ana dapat ilmu dengan bahas enta nie..

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .