Friday, July 11, 2008

Ikhlas - Hidup Dalam Perang



Jazaakumullah Khairan Kathira..Fatahallahu alaik ya Syeikh!!.

Hanya kalimah doa itu yang termampu aku hadiahkan kepada Khatib solat jumaat seusai laungan khutbah sebentar tadi di Masjid Sakan Sinan Abu Luhum. Sejak dua bulan aku disini, belum pernah aku mendengar khutbah darinya. Biasanya Syeikh Hasan As Syafi’e yang mengisi ruang itu. Aku cuba menyiasat sipakah gerangan Khatib itu melalui kawan-kawanku. Tiada siapa yang mengenalinya tapi aku mendapat maklumat yang dia bertugas sebagai tenaga pengajar di Jami’aatul Iman. Pakar aqidah, tak hairanlah bagaimana susunan kalam khutbahnya penuh mantiqi dan amat mudah difahami. Aku seperti mendengar khutbah di dalam bahasa melayu!.

Ikhlas...kalimah itulah tajuk hari ini. Bukan aku tidak biasa mendengarnya, tetapi kali ini tajuk itu kurasakan betul-betul menyerap kedalam sanubariku. Ku harap ianya mendarah daging didalam diriku. Mungkin inilah yang dikatakan berkat pada ilmu dan amalan seseorang. Teringat pada ajaran Ustaz Lutfi semalam ketika pengajian kitab Muniyatul Musolli. Orang yang hilang keberkatan padanya akan ditimpa tiga bala’. Salah satunya ialah kalau ia menjadi orang alim, apa yang diucap dan diajarnya tidak akan memberi manfaat dan orang tidak akan beramal dengannya. Seluruh masjid sunyi dan semua jamaah tunduk khusyuk menadah telinga. Hanya sayup-sayup kedengaran teriak kanak-kanak kecil bermain diluar masjid. Suasana yang sungguh tenang.

Apa yang sempat aku rakam didalam mindaku ialah syeikh itu menyifatkan hidup ini sentiasa di dalam peperangan. Perang melawan syaitan. Bisikannya setiap hari terkadang disedari dan seringkali tidak diambil tahu. Setiap amalan kebaikan manusia samada dihadapan manusia lain atau tidak sentiasa diserang dan dan direjami dengan panah riak, sumaah dan ujub sehingga perasaan ikhlas parah cedera tanpa dipeduli. Bukan insan biasa sahaja diserang, malah orang seperti Imam Ahmad bin Hambal pun teruk diserang bertubi-tubi oleh bisikan syaitan ketika sakitnya sehinggakan anaknya resah gelisah bimbang ayahnya tidak dapat mengucapkan kalimah tauhid ketika ajalnya. Sungguh licik bisikannya kepada Imam Ahmad. “ Kamu sudah bebas dari hasutan bisikan kami”. Kalau aku berada ditempatnya, belum tentu dapat menyedari jarum tusukan itu dicucuk walaupun tertikam kehulu hati. Nauzubillah Min Zaalik!!.

Syeikh itu membaca lagi sepotong hadith yang sempat aku cari matannya selepas itu.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata. Aku mendengar Baginda Rasulullah SAW bersabda. Sesungguhnya manusia yang paling awal diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati didalam peperangan. Kemudian didatangkan dan ditunjukkan padanya segala nikmat yang bakal ia kecapi dan lantas ia mengetahuinya. Kemudian ditanya padanya, apa yang telah kamu lakukan sehingga kamu mendapat segala ganjaran ini. Dia menjawab, Aku telah berperang keranaMu sehingga aku terbunuh syahid. Kemudian dikatakan padanya. Kamu berbohong!!, padahal kamu berperang supaya kamu digelarkan wira yang gagah berani. Maka sesungguhnya dikatakan dan disuruh (malaikat) untuk menarik mukanya dan dilempar kedalam api neraka.

Selepas itu, didatangkan pula lelaki yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta pandai membaca Quran. Kemudian didatangkan dan ditunjukkan padanya segala nikmat yang bakal ia kecapi dan lantas ia mengetahuinya serta ditanya padanya, apa yang telah kamu lakukan sehingga kamu mendapat segala ganjaran ini?, Maka dia menjawab, aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca Quran keranaMu. Kemudian dikatakan padanya. Kamu berbohong!!, padahal kamu mempelajari ilmu supaya kamu digelar orang yang alim dan kamu membaca Quran supaya kamu dikatakan sebagai Qari. Maka sesungguhnya dikatakan dan disuruh (malaikat) untuk menarik mukanya dan dilempar kedalam api neraka.

Selepas itu didatangkan pula seorang lelaki yang diluaskan dan diberi oleh Allah segala macam harta kekayaan. . Kemudian didatangkan dan ditunjukkan padanya segala nikmat yang bakal ia kecapi dan lantas ia mengetahuinya serta ditanya padanya, apa yang telah kamu lakukan sehingga kamu mendapat segala ganjaran ini?. Maka dia menjawab, aku tidak sekali-kali meninggalkan jalan yang Engkau suka dinafqahkan pada jalan itu (Sabilillah) melainkan aku memberi infaq padanya keranaMu. Kemudian dikatakan padanya. Kamu berbohong!!, padahal kamu berbuat demikian supaya kamu digelar orang yang pemurah. Maka sesungguhnya dikatakan dan disuruh (malaikat) untuk menarik mukanya dan dilempar kedalam api neraka.
(Riwayat Muslim)


Subhanallah..segala perbandingan yang ada didalam hadith tersebut terang benderang terbentang luas dihadapanku. Golongan pejuang Islam yang berjuang kerana nama. Golongan alim dan ahli Quran yang mempelajari serta mengajar agamaNya kerana gelaran. Golongan dermawan yang menginfaqkan hartanya kerana kemuliaan disisi manusia. Tiga sifat yang terzahir dimana-mana terutamanya diriku. Aku mengharap dan berdoa kepada Allah agar dijauhkan aku, ahli keluargaku, sahabat2 seperjuanganku dan muslimin muslimat dari semua penyakit tadi. Nauzubillahi Min Zaalik!.

Syeikh itu menegaskan lagi, buah kepada pohon ikhlas ialah kejayaan di dunia dan akhirat. Suatu perkara yang terang lagi bersuluh kerana ikhlas itu datangnya dari iman dan taqwa. Dari benih itulah terbuka segala pintu kejayaan dan jalan keluar bagi setiap permasalahan. Kejayaan di akhirat dapat ditafsirkan secara mudah sebagai mendapat syurga dan terlepas dari azab neraka Allah SWT. Maka bergemalah kalam-kalam mulia hadith Rasulullah SAW dari bibir syeikh itu membacakan hadith-hadith berkenaan nikmat syurga dan azab neraka Allah SWT yang teramat dahsyat. Seluruh masjid diselubungi Khauf dan Raja’. Kusedari pemuda Yaman berseluar jeans disebelahku teresak menahan sebak. Aku tak pasti dia menangis atau tidak. Aku tidak melihat wajahnya bimbang perasaan tidak selesa datang padanya kerana dilihat olehku. Aku sendiri terasa “sesuatu” tetapi lantaran hatiku yang keras bukan mudah untukku kalah pada mataku. Aku sedar itulah perkara buruk yang ada padaku.

Khutbah kedua dimulakan dengan selawat dan salam dan ketenangan kembali dirasakan. Kali ini syeikh memberikan amanatnya dengan perkara yang tak pernah terlintas dihatiku. Antara tanda-tanda ikhlas pada diri seseorang ialah dia sentiasa bersangka buruk pada dirinya dan tidak tertipu oleh amalannya. MasyaAllah!!, tak sangka jauh sekali pandangan hatinya. Selama ini aku sentiasa bersangka baik dengan menyangkakan apa sahaja amalan kebaikan yang aku lakukan walupun sedikit asalkan ikhlas sudah besar ganjarannya. Tanpa kusedari aku telah terkurung didalam kotak “sedikit” sehingga aku tidak berusaha untuk mencari kalimah “sebanyak”. Aku tertipu oleh amalanku. Tertipu oleh amalan juga katanya lagi bermaksud orang yang berpuas hati dengan amalannya dan merasakan ianya adalah terbaik, walhal kalau dinilai amalan sebesar bukit Uhud sekalipun belum dapat dijadikan perbandingan dengan segala nikmat kurniaan Allah yang telah diberikan kepada manusia.

Syeikh itu menambah lagi, satu lagi tanda-tanda orang yang ikhlas ialah dia sentiasa berusaha untuk menyembunyikan amalannya . Lantas dia bercerita satu kisah tentang seorang sahabat bernama Amir bin Abdillah r.a (kalau tak silap aku). Pada suatu ketika, beliau telah diajak untuk pergi berniaga sekaligus bermusafir. Beliau telah memberikan 3 syarat barulah beliau akan turut serta didalam rombongan tersebut. Yang pertama dia mesti dibenarkan berkhidmat seperti biasa. Yang kedua, dia mesti dibenarkan untuk menafqahkan apa sahaja mengikut kehendaknya pada hartanya dan yang ketiga jika dia hilang secara tiba-tiba, usah ditanya dan disiasat kemana dia menghilang. Setelah syarat-syarat itu dipersetujui, maka berdaganglah rombongan itu seperti biasa. Setelah datangnya malam dan semua ahli rombongan hendak berehat dan tidur. Beliau buat-buat tidur dan menunggu semua ahli rombongan tidur nyenyak.Selepas itu perlahan-lahan beliau bangun dan menghilangkan diri serta tidak kembali sehinggalah sebelum subuh.

Pada hari-hari seterusnya para ahli rombongan mula merasa pelik kerana Amir bin Abdillah sentiasa mendapat untung yang banyak walhal dialah orang yang paling banyak menginfaqkan hartanya. Mereka mula mengesyaki syarat ketiga yang dipersetujui antara mereka dengan Amir bin Abdillah. Ada diantara mereka yang mengatakan beliau telah melakukan urusniaga secara sulit pada malam hari. Pada malam itu, salah seorang daripada ahli rombongan itu mengekori Amir bin Abdillah. Akhirnya dia hanya mendapati Amir bin Abdillah hanya menjauhkan diri di kepekatan malam, menambat tunggangannya di pokok dan menghidupkan malam dengan qiamullail didalam keadaan orang lain berehat keletihan kerana berniaga disiang hari. Tiada sesuatu yang lain seperti disangkakan kecuali tangisan Amir bin Abdillah di rukuk dan sujudnya.

Begitulah hal keadaan orang yang ikhlas dan sentiasa dekat dengan Allah SWT. Rahmat Allah sentiasa bersamanya walaupa apa sahaja keadaan dan suasana. Aku merasakan kunci syurga ini perlu direbut oleh semua orang yang mengaku Lailahaillallah dan mengaku mereka adalah prajurit-prajurit Islam. Tiada jalan lain untuk mendapat keredhaan Allah SWT didalam setiap amal perbuatan kecuali dengan ikhlas kerana Allah SWT seperti kata-kata Imam Hasan Al Banna,
Amal Kerana Allah, Itu Syiar Kami....

Ps: cerita Abdullah Bin Amir tu aku pun tak berapa ingat sangat. Tapi itulah yang sikit-sikit yang lekat dikepala. Hehehe...

0 comments:

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .