Sunday, July 20, 2008

Berikan Peluang Islam Dilaksanakan - TGHH



Subhanallah…

Minggu yang sungguh sibuk!!. Tak pernah aku sesibuk ini semenjak berada di Yaman. Jangankan nak update blog, nak ulang Quran pun susah. Pening dengan urusan persatuan, iqamah dan tasjil jamiah, Ditambah lagi dengan karenah pak-pak arab yang penuh “koboi” dan birokrasi. Apa-apapun, bila difikir-fikirkan. Seperti kata mamak India, seronok juga ada!!. (hehehe).

Sebagai anak Malaysia yang berada di luar Negara aku tak mahu ketinggalan dalam mengikuti perkembangan semasa di tanah air tercinta. Aku soroti kembali apa yang berlaku sepanjang minggu ini didalam internet. Bermula dari hari sabtu lepas hingga hari khamis. Sungguh banyak perkara yang berlaku. Menambahkan pening dikepala aku melihatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Malaysia. Isu jijik sodomi dan penangkapan Anwar, isu kedudukan Pakatan Rakyat, Isu undi tidak percaya PR kepada Pak Lah, isu hubungan Pak Lah dan Najib yang penuh prasangka dan banyak lagi isu-isu yang membuatkan aku berputar mata. Ditambah lagi dengan isu-isu gejala “so sial” remaja, budak sekolah, orang tua hatta pemimpin masyarakat dan negara sehingga aku bukan saja berputar mata, tapi membuatkan aku terfikir bala apa yang menimpa tanah airku sekarang???.

Bala….,sememangnya ia bala. Bala bagi mereka yang ghairah menjemputnya. Masalahnya bukan hanya menimpa puak-puak mereka, tapi tempiasnya turut membedal orang-orang yang tidak ada kena mengena dan yang berjuang menentangnya. Bala Allah sememangnya tidak mengenal kawan dan lawan. Tsunami akhlaq yang menghentam Malaysia sudah mengorbankan hampir seluruh Malaysia bermula dari anak kecil sehingga ke pemimpin-pemimpin utama negara. Kemusnahan dan kehancuran. Bagai tiada kebaikan, keamanan dan keberkatan Allah lagi di bumi bertuah Malaysia. Teringat kepada saranan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, pertahankan akhlaq Islam disaat serba mencabar ini. Mempertahankan akhlaq Islam bagi aku sudah menjadi jihad pada abad ini. Jihad untuk menuntut keredhaan dan keberkatan dari Allah terhadap negara Malaysia yang tercinta ini.


Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan. (Al Aa’raf 96 )

Baru tadi aku berbincang dengan sahabat-sahabat tentang apa yang berlaku di Malaysia. Suasana politik yang cukup menggila. BN dengan masalah dalaman dan keangkuhannya yang makin goyah bermati-matian mempertahankan kedudukan. Bila kehendak dan nafsu menguasai akal dan iman, ia sanggup membuat apa sahaja diluar batasan kemanusiaan dan agama. Fitnah dan kezaliman jadi mainan. Makin ramai orang yang menzalimi dan dizalimi. Bahkan secara terang terangan tanpa malu dan berselindung. Tak perlu dikaji dan dianalisis tindakan kerajaan sekarang untuk membuktikan kebodohan mereka dalam mentadbir negara. Aku cuba seikhlas hati membilang dengan jari kehebatan dan kebaikan kerajaan Malaysia sekarang..

Pemimpin-pemimpin??..Sibuk dengan menfitnah, rasuah, tidur, kes bunuh warga asing, mengarut dalam parlimen, salah guna kuasa, makan duit rakyat, pecah amanah, pembaziran, pemimpin agama yang salah guna agama dan lagi dan lagi dan lagi….

Ekonomi??…harga minyak, harga barangan, pelaburan, kos sara hidup, kos pendidikan, kos perubatan, barangan tanpa kawalan dan lagi dan lagi dan lagi..

Agama dan ideologi??…Tak perlu dibilang. Cukup sekadar melihat isu-isu yang berlaku dan sampai sekarang tak dapat diselesaikan. Isu murtad yang semakin parah, liberalisme, pluralisme, sekularisme, kristianisasi, akhlaq manusia, sekolah-sekolah agama, masjid-masjid, ajaran sesat dan lagi dan lagi dan lagi..

Keamanan dan kedaulatan negara??…Tak perlu dibahas sejarah. Lihat sahaja kes terbaru yang mencalarkan maruah Malaysia kepada Singapura dalam kes pulau Batu Putih. Isu tambak Johor, tanah Malaysia yang dijual kepada Singapura, ketelusan pihak polis, tentera dan lagi dan lagi dan lagi…

Ketuanan melayu??…Sudah jadi hamba di tanah air sendiri.

Undang-undang??…sudah tak berguna. Boleh dicipta dan dipinda sesuka hati, Tanpa merujuk kepada perlembagaan Ilahi.

Pendidikan??…Kegagalan teruk yang terang terbukti tanpa perlu dibuktikan.

Remaja…sudah jadi barah dalam negara. Bukan lagi pemuda-pemudi harapan bangsa.

Cukup. Tak perlu dibilang lagi. Tiada kebaikan dan kehebatan. Langsung tak terkejut. Mungkin orang yang membaca tulisan ini mengatakan aku cuma mencari salah. Tapi hakikatnya kesalahan sahaja yang aku temui. Kalau didatangkan kebaikan kepada aku, pasti ada sahaja hujah untuk menafikannya. Rasanya tak perlu untuk aku berasa bersalah kepada kerajaan kerana tidak dapat melihat kebaikannya kerana kebodohannya sengaja dizahirkan. Zaman Tun Mahathir walaupun teruk tidak separah zaman cucu ulama ini!!. Barah zaman Tun sudah berada di tahap kritikal dizaman ini.

Bagaikan bertemu penawar selepas aku membaca temuramah bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam harakahdaily. Seperti sudah disusun untuk aku supaya membaca dan melihat penyakit-penyakit dahulu pada minggu ini dan diakhiri dengan kesimpulan penawar dari Tuan Guru. Aku bukan taksub. Tapi penawar yang sudah tiba masanya untuk digunakan secara serius. Penawar yang sepatutnya sudah lama dilaksanakan di Malaysia. Berikan peluang kepada Islam untuk dilaksanakan. Tiada orang lain yang akan melaksanakannya kalau bukan orang Islam. Biar orang Islam yang melaksanakan Islam. Satu penghinaan kepada orang Islam bilamana orang bukan Islam pun sudah celik dan ingin melaksanakan pemerintahan seperti pemerintahan Islam seperti apa yang diucapkan oleh Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang ingin meniru pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dan dia terbukti melaksanakannya. Pemimpin Islam kerajaan BN sekarang seharusnya harus berasa malu. Jangan tunggu mereka mengisytiharkan ingin melaksanakan hudud kerana keadilan Islam bila terzahir akan melembutkan fitrah hati setiap manusia.

Aku melihat didalam temuramah itu, walaupun PAS bergabung dan bersama Pakatan Rakyat. Tapi prinsip dan dasar perjuangannya masih seperti dulu. Tetap gagah dan tak berganjak dari pinsip Islamnya. Inilah prinsip Islam yang sesuai dan fleksibel untuk setiap keadaan dan zaman. Matlamat PAS ialah melaksanakan Islam secara menyeluruh Satu penegasan prinsip yang cukup tegas dan berani. Realitinya hanya PAS yang memperjuangkan Islam di dalam Pakatan Rakyat dan perjuangan itu tidak akan tergelincir dari landasannya. Satu imbangan yang baik antara Pas, PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat. Masing-masing bersatu diatas satu titik persamaan iaitu keadilan dan menentang kezaliman kerana keduanya adalah fitrah keinginan semua manusia. BN tidak lama lagi akan tumbang dan aku percaya majoriti rakyat Malaysia menantikan saat itu sekarang.

Aku merasa agak sedih apabila membaca sebahagian komen-komen pembaca terhadap kenyataan dan penegasan yang diberikan oleh TGHH dalam temuramah itu. Ada juga antara mereka yang tidak yakin dengan kepimpinan pemimpin Islam. Aku tidak mempersoalkan siapakah antara pimpinan Pakatan Rakyat yang akan menjadi PM selepas kejatuhan BN. Tetapi apa yang disifatkan kepada TGHH, pemimpin PAS dan pemimipin Islam yang lain seperti tidak tahu apa-apa itu seperti menghina ulama dan Islam itu sendiri. Disifatkan tidak tahu “Agenda New Age”, “Agenda Depopulation”, “Oil and food crisis”, “Agenda Post Modernism” dan bermacam-macam lagi ism-ism barat walhal perkara-perkara sebegitu bukan lagi perkara yang asing dibincangkan dewasa ini. Segala perancangan barat dan takhtit yahudi bukan lagi sesuatu yang agak rahsia sekarang. Kenalkah mereka dengan TGHH dan sebahagian pemimpin PAS yang lain?. Tak tahukan mereka TGHH ini sudah dianggap pemimpin Islam diperingkat global?. Apa yang aku lihat semuanya adalah usaha untuk melaga-lagakan pemimpin dan para penyokong PR. Ingin melaga-lagakan DSAI, TGHH dan pimpinan DAP. Satu taktik yang kolot dan sudah sangat dapat dibaca. Tetapi hairan!!, ada juga manusia yang terkena. Aku tidak kisah dengan cerita murahan yang mengatakan PAS dan pemimpinnya sudah tidak popular dan relevan berikutan fenomena Anwar Ibrahim yang semakin menggila sekarang kerana aku yakin pemimpin pejuang Islam tidak akan ada waktu pasang surutnya. Ia akan terus diperlukan rakyat dan manusia.

Islam akan berdaulat dan memerintah. Itu janji pasti dari Allah. Tinggal lagi usaha, jihad dan doa berterusan yang menentukannya. Zaman kebangkitan Islam sudah bermula. Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh pelusuk dunia. Terbukti tanpa perlu banyak bicara. Berikan peluang Islam terlaksana. Kerana Islam penawar segala masalah dunia.

Mereka bertanya bilakah datangnnya pertolongan Allah, ketahuilah sesungguhnya pertolongan dan kemenangan Allah sudah dekat..

0 comments:

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .