Friday, September 5, 2008

Ahlan Ya Ramadhan..


Ahlan..ahlan...Ya Ramadhan..

Penghulu segala bulan. Datang dan pergi saban tahun..Kini ia datang lagi. Menuntut hambanya yang mendamba redha Rabbi.

Terlalu ramai yang antara kita yang mengetahui maksud ayat 183 surah Al Baqarah. ( Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan kepada kamu berpuasa sebagaimana difardhukan kepada umat-umat yang terdahulu dari kamu. ,Semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa). Tak kurang juga antara kita yang megetahui dengan jelas pelbagai fadhilat yang berganda-ganda banyaknya dibulan ini. Kata kunci "La'allakum Tattaqun" yang selalu dibentangkan ketika menjelangnya Ramadhan juga sentiasa menjadi modal syarahan para ustaz dan alim ulama.

Tapi sedarkah kita bahawa kataqwaan tidak akan datang bergolek kecuali dengan iman yang benar dan hakiki (bukan hadhari). Segala macam fadhilat pun tak akan terbentang mudah kecuali dengan iman yang hakiki. Sepertimana khitab Allah di dalam ayat tadi yang hanya khas untuk orang-orang yang beriman menunjukkan bahawa hanya orang-orang yang mempunyai iman yang hakiki sahaja yang mendapat Sijil Taqwa yang cemerlang disamping hadiah-hadiah fadhilat istimewa yang penuh berganda-ganda. Dakapilah tuntutan iman yang sejati kerana hanya orang-orang yang mempunyai iman yang sejati sahaja yang bakal diampunkan oleh Allah segala dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi khirrij dari madrasah Ramadhan sesuci bayi yang keluar dari perut ibunya.

Sabda Baginda Rasulullah SAW, Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penghayatan (pengharapan), diampunkan Allah segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah diri dan menuntut mujahadah yang penuh kesungguhan agar Ramadhan kali ini menjadi satu lagi noktah bidayah yang baik untuk kita menambahkan lagi keimanan dan kecintaan kita kepada Pencipta Yang selalu dan selamanya Menyayangi dan Mengasihi kita. Carilah Malam Al Qadar yang telah dikhaskan Allah SWT hanya kepada kita ummat Muhammad SAW. Siapa tahu Ramadhan akan datang kita bukan lagi tergolong dikalangan orang yang diberi peluang oleh Allah untuk merasai nikmat Ramadhan yang penuh keberkatan ini..

Ramai orang yang lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan, tapi satu pun tak beramal dengan apa yang dipelajarinya. Seperti juga ramai orang yang lulus berpuasa selama sebulan, tapi satu pun hikmah dan pengajarannya tiada di dalam kamus hidupnya..


Tubna Ilallaha Wanastaghfirullahalazim..

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .