Wednesday, November 12, 2008

"Syuhunah Iman", Istimewa Dari Allah..


Assalamualaikum…wbt.

Mesti pembaca tertanya-tanya, apa yang dimaksudkan syuhunah itu?. Syuhunah atau bahasa Inggerisnya charger adalah suatu yang tidak asing lagi dalam kehidupan moden manusia sekarang ini.(bahasa melayu saya tak tahu orang panggil apa (",)) Sesebuah telefon bimbit akan menjadi lemah dan tidak berfungsi sekiranya ianya tidak dicas dengan baik. Begitu juga dengan jasad dan nurani tersembunyi manusia. Entry kali ini adalah buah kefahaman saya didalam kelas pengajian tafsir sekejap tadi. Nasihat penutup Syeikh Mahmud Qadasi Hafizahullah tadi betul-betul membuka minda saya tentang peri pentingnya mencari keseimbangan di dalam "mengecas" keimanan kita kepada Al Khaaliq..

Syuhunah istimewa yang Allah telah hadiahkan kepada orang-orang yang beriman ialah Al Quran dan Sunnah baginda SAW. Tidak salah kalau kita menukar persepsi fikiran kita dengan menganggap membaca dan memahami Quran dan Hadith baginda SAW adalah proses mengecas kembali iman yang terkadang bertambah dan berkurang ini. Ramai sekali dikalangan manusia yang mengaku beriman kepada Al Quran dan Rasul gagal melihat dua kertas kerja dasar hidup ini sebagai suatu hadiah motivasi hidup dari Allah untuk manusia hatta para pejuang Islam sekalipun seringkali mengeluh dan terlupa untuk sentiasa mengecas iman mereka di dalam perjuangan di jalan Allah SWT sehinggakan ada diantara mereka yang futur dan gugur di medan perjuangan (Wal I'eyazubillah)..

Syeikh menyambung lagi dengan mengatakan bahawa proses syuhunah ini tidak dapat tidak memerlukan kepada keseimbangan dan kadar yang terbaik. Sepertimana telefon yang jika disambung terus kepada elektrik akan menyebabkan kerosakan atau lebih parah lagi akan meletup. Begitu juga manusia yang memerlukan kepada tanzim dan timbangan yang adil didalam proses tersebut supaya tidak berlakunya kerosakan samada maddiyyah atau ma'nawiyyah.

Sebagai suatu contoh, berlakunya kisah yang warid didalam hadith baginda SAW berkenaan tiga orang sahabat baginda yang mendapat syuhunah iman yang terlalu kuat dan tidak menepati kadarnya. Apabila mereka melihat perjalanan kehidupan Rasulullah yang biasa, Salah seorang dari mereka mengatakan, adapun aku akan bersembahyang di waktu malam dan tidak akan tidur. Seorang lagi berkata, aku pula akan berpuasa dan tidak akan berbuka dan sahabat yang terakhir mengatakan aku pula tidak akan berkahwin selama-lamanya. Setelah hal tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, baginda mengatakan "Adapun aku bersembahyang diwaktu malam dan tidur. Aku juga berpuasa dan berbuka, dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita. Maka sesiapa yang tidak suka akan sunnahku, maka dia bukanlah dari golonganku".

Ini menunjukkan bahawa pentingnya tanzim didalam proses syuhunah Iman ini. Tanzim tersebut ialah memahami serta mempelajari Al Quran dan Sunnah dari orang yang alim dan berkelayakan didalam perkara tersebut. Sebagaimana yang disebut oleh Imam As Syafi'e Rahimahullah tentang syarat untuk mendapat ilmu yang mana salah satunya ialah guru yang mursyid. Bukan hanya sekadar mengajar dan memberi ilmu tetapi sebagai pengimbang kepada para penuntut supaya mendapat kadar syuhunah iman yang sesuai dan berpatutan agar setiap amalan perbuatan jauh dari ifrath, tafrith, bida'ah dan kerosakan serta sentiasa berada didalam timbangan dan kayu ukur yang telah ditetapkan oleh Allah dan baginda Rasulullah SAW.

Seseungguhnya Kami Jadikan Di Setiap Sesuatu Itu Mengikut Kadarnya
- Al Quran-

0 comments:

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .