Friday, May 22, 2009

Al Waqi'eyyah Al Mithaliyyah-Antara Keindahan dan Kecantikan Islam


Sudah lama juga saya biarkan blog ini bersawang. Sekarang sudah mula fatrah bulan ibadah dan mujahadah, bulan imtihan. Ustaz-ustaz dan para pensyarah sudah mula sibuk membuat kuliyah dan kelas-kelas idofiy. Semuanya gara-gara nak habiskan muqarrar. Inilah salah satu kelemahan sistem pengajian macam ni. Kita sebagai pelajar jurusan agama ni tak dapat nak istia'ab secara mendalam dalam ilmu-ilmu yang diajar. Akhirnya semuanya terpulang kepada pelajar itu sendiri untuk menambah nilai tambah pada apa yang diberi...

Semalam saya menghadiri seperti biasa kelas idofiy subjek Tarikh Khulafa' atau sejarah pemerintahan dalam Islam. Baru sahaja habis bab futuhat (pembukaan negara-negara). Satu bab yang panjang dan menginsafkan. Saya sangat tertarik dengan satu pokok perbincangan yag dilontarkan oleh Dr Abdul Rahman Syuja' tentang natijah futuhat. Salah satunya ialah Al waqi'eyyah wal mithaliyyah yang menjadi salah satu dari kecantikan dan kecemerlangan Islam. Saya pada mulanya agak keliru dan kurang faham tentang maksud al waqi'eyyah dan al mithaliyyah itu walaupun secara harfinya saya faham apa maksud kedua-dua kalimah tersebut yang memberi maksud realiti dan contoh tauladan. Apa yang menjadi persoalan ialah fikrah yang terkandung di dalam kedua-dua istilah tersebut.


Dr Abdul Rahman mula menerangkan tentang kedua-konsep tersebut secara detail. Contoh dan penerangan yang diberikan sangat mudah difahami. Beliau menyatakan bahawa Al Waqi'eyyah atau realiti didalam Islam bukanlah seperti apa yang ditakrifkan oleh pemikir-pemikir Eropah yang membawa masyarakat dan individu kearah kehancuran tamadun manusia dan hidup yang besifat kebinatangan, akan tetapi ianya memberi maksud yang jelas bahawa realiti dalam Islam ialah mengaplikasikan dasar-dasar yang bersifat jelas dan membumi dalam perjalanan kehidupan manusia. Dari sudut ini, Islam meraikan semua aspek kehidupan manusia tanpa meninggalkan tuntutan-tuntutan semasa yang bersifat fitrah. Maksud tuntutan fitrah manusia ialah keinginan fitrah manusia kepada kehendak-kehendak kelazatan dunia dari tabiat syahwat manusia, mengumpulkan harta dan sebagainya bahkan Islam menjadikan segala kehendak-kehendak ini sebagai wasilah untuk mencapai maksud sebenar kehidupan manusia iaitu kebahagiaan di negeri akhirat. Wasilah inilah yang dinamakan Al Mithaliyyah.


  Sebagai suatu contoh, kalau sekiranya kita melihat seseorang terjatuh didalam lubang najis. Kebersamaan kita dalam menghadapi realiti buruk yang berlaku ini bukanlah menuntut dan menyebabkan kita bersama-sama terjun kedalam lubang najis tersebut, akan tetapi kebersamaan kita dalam menghadapi realiti tersebut ialah dengan cara kita menghulurkan tangan dan bantuan mengeluarkannya dari lubang tersebut, membersihkannya serta mensucikannya dari segala kekotoran. Kita tidak perlu bersama-sama terjun ke lembah yang hina diatas dasar dan alasan bahawa kita perlu menghadapi realiti dan berpijak dibumi yang nyata.


Dalam hal ini Allah SWT telah menyatakan didalam Al Quran

 

 "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


Allah SWT berfirman lagi


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orangyYang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.


Dengan sebab itu Allah SWT menghamparkan kepada keinginan rohani manusia jalan untuk mendapatkan kebahagiaan abadi di akhirat. Tawaran Allah itu dinyatakan didalam banyak ayat antaranya 


Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).


Dalam masa yang sama Allah juga menhampar dan meraikan tuntutan keinginan fitrah manusia didalam ayat yang sama


Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.


Maka dengan sebab itulah kita melihat didalam soal pembahagian harta ghanimah yang didapati dari medan-medan jihad dibahagi-bahagikan diantara tentera-tentera dengan cara dan jalan yang ditentukan oleh kitab Allah.


Dan ketahuilah, Bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka Sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Dalam hal ini juga Baginda SAW telah bersabda: Sesiapa yang membunuh musuhnya (didalam peperangan), maka baginyalah semua harta dan barang-barang yang ada pada diri musuhnya itu.


Semua ini menunjukkan sebahagian dari mura'ah Islam terhadap realiti semasa keadaan manusia kerana mereka dalam keadaan menerima balasan baik pada khidmat dan ketaatan harta dan nyawa mereka di jalan Allah SWT. Maka dua entiti (dunia dan akhirat) tersebut dijalin dan disistemkan dalam satu ikatan yang satu untuk membentuk jatidiri Insan muslim yang sempurna. 


Semua sifat dan jatidiri diatas diterjemahkan didalam kehidupan Rasulullah dan para sahabat R.Anhum terutamanya dalam siri-siri futuhat dan peperangan. Terdapat satu kisah yang sangat mengharukan yang berlaku didalam peristiwa Ajnadain pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi(tahun-tahun futuhat). Terdapat seorang sahabat yang bernama Aban bin Said bin A'sh. Beliau telah mengahwini Ummu Aban binti Utbah ketika dalam waktu perang. Beliau mengahwini isterinya pada malam jumaat. Pada malam sabtu keesokan harinya sebelum sempat beliau bermalam dengan isterinya, somboyan peperangan dibunyikan dan beliau turun ke medan juang dan berjihad sehingga akhirnya beliau gugur sebagai syahid diwaktu subuh.


Kisah ini juga berlaku kepada saudaranya Khalid bin Said bin A'sh pada peristiwa Maraj Safar pada tahun yang sama. Beliau mengahwini Ummu Hakim binti Al Harith (balu kepada Ikrimah bin Abu Jahal yang syahid pada peperangan yang sebelumnya). Beliau hanya sempat bermalam satu malam bersama isterinya. Pada waktu subuh keesokan harinya, syiar peperangan dilaungkan. Sebelum sempat beliau menjamah apa-apa makanan, beliau terus terjun ke medan jihad sehingga beliau akhirnya gugur syahid. Apa yang menarik ialah pada peperangan tersebut Ummu Hakim juga turut mengikat baju pengantinnya dan bersama-sama turun ke medan jihad sehingga beliau akhirnya bersama-sama mengikut jejak kedua-dua suaminya pulang ke pangkuan Allah sebagai syuhada sehingga warid dari beberapa orang sahabat bahawa ketika beliau turun ke medan perang, masing-masing boleh mnencium bau pengantin yang masih ada di jasad Ummu Hakim. 

   

Seseungguhnya inilah matlamat yang ada didalam Al Waqi'eyyah dan mereka sentiasa berfikir untuk melaksanakan realiti yang mereka inginkan. Dalam masa yang sama matlamat Mithaliyyah juga diaplikasikan dengan meninggalkan segala kelazatan dan keinginan dunia didalam sekelip mata tanpa berfikir dua kali walau sekejap cuma kerana tamak pada apa yang menanti mereka pada kenikmatan syurga. Dalam susana perang mereka masih lagi boleh melaksanakan tuntutan fitrah manusia dan juga boleh meninggalkan segala apa yang nereka inginkan itu semata-mata inginkan keredhaan Allah SWT.


Kalau sekiranya ummat Islam dewasa ini memahami dan mentatbiqkan dua aspek ini disamping syarat-syarat kemenangan yang lain, sudah tentu Allah SWT akan mengurniakan An Nasr atau pertolongannya samada menang dan syahid  di medan jihad ataupun thabat didalam perjuangan kerana dengan sifat-sifat inilah syarat kemenangan akan sempurna dan akan mengangkat Islam ke mercu kecemerlangan sepertimana apa yang telah berlaku didalam siri-siri futuhat Islam keatas negara-negara di dunia sehingga Islam dapat menguasai dua pertiga dunia.


 Allahumma Thabbit Quluubana Ala To'atik       

3 comments:

saffa@srar said...

"amen ya Rabb"- IHSH!

saffa@srar said...

salam, sebagai makluman je la..sbb dh linkkan N3 ni..hehe.

innerinspiration said...

alhamdulillah..napoknya skrg ni enta dah rajin update blog. nak tgk gmbo kawin kat blog ana.

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .