Wednesday, November 11, 2009

Islam Di Persimpangan, Antara Kejahilan Ummah dan Kelemahan Ulama 1

Islam adalah satu agama yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan kemenangan. Ianya pernah melalui zaman kegemilangan dan kemasyhuran. Ianya juga pernah melalui liku-liku keruntuhan dan kebejatan. Sudah pasti pada waktu dan ketikanya ianya pasti kembali bersinar dan terpasak kukuh mewarnai dunia. Tetapi persoalanya adalah, bilakah saat-saat itu akan berlaku sedangkan apa yang menjadi realiti sekarang bagaikan sebaliknya?. Kita sentiasa mendengar bahawa zaman mutakhir ini ialah zaman dimana Islam sedang mendaki kembali jurang kelemahan dan menuju kearah kegemilangan. Tetapi menurut perspektif yang lain pula, terdapat usaha tangan-tangan penganutnya sendiri yang begitu giat mencampak dan menjerumuskannya kembali ke jurang tersebut.

Seringkali diibaratkan bahawa Islam itu bagai air tenang yang sentiasa mengalir tidak akan putus. Tetapi dengan suasana yang berlaku dewasa ini, ianya bagai semakin perlahan dan tersekat-sekat bagaikan keliru untuk meneruskan alirannya lantaran hanya bertemu dua persimpangan yang bakal membekukannya. Mengalir ke laut bakal bertemu dengan kejahilan ummah, mengalir ke sungai disekat dengan kelemahan ulama. Keadaan serba salah ini sudah pasti akan menyebabkan aliran suci Islam bakal terhenti dan membeku seterusnya menjerumuskan kembali agama suci ini kedalam jurang kelemahannya kembali.

Fenomena Kejahilan Ummah Yang Menyedihkan

Suasana abad ke 21 ini bukan sahaja menyaksikan kepesatan pembangunan tamadun manusia, malah ia juga memaparkan satu episod kejahilan ummah moden yang melangkaui zaman kegelapan jahiliah umat-umat terdahulu. Melihat kepada senario yang berlaku di negara-negara umat Islam secara khusus, kita akan mendapati tahap kejahilan yang berlaku adalah amat serius dan tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di barat. Akibatnya, negara-negara ini terus dijajah dan dikuasai tamadun dan pemikirannya oleh pihak barat yang memang sentiasa menginginkan keadaan itu berlaku.

Secara ringkasnya kita dapat melihat fenomena ini adalah diantara dua aspek yang saling kait mengait antara satu sama lain. Kejahilan dari sudut akidah dan pegangan atau kejahilan dari sudut hukum dan aplikasi konsep keagamaan dalam kehidupan. Bilamana kita bercakap soal kelemahan pegangan akidah sudah tentu ianya bertitik tolak daripada tahap dan nilai keimanan seseorang manusia terhadap penciptaNya. Terlalu ramai dikalangan umat Islam dewasa ini bagaikan sudah tidak kenal agamanya. Mereka hanya dikenali melalui nama Islamnya dan status keagamaan yang terdapat pada kad-kad pengenalan. Itupun sering dipertikaikan kebebasan dan keperluannya. Mereka bukan sahaja tidak mengenal Islam, malah budaya dan adat resam bangsa yang berasaskan keagamaan yang betul semakin hari semakin dilupakan bahkan dianggap ketinggalan zaman dan menghalang kemodenan. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan mereka yang bermati-matian memperjuangkan ideologi tersebut diatas nama kemodenan dan hak asasi manusia . Tak kurang juga yang dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran bagaikan pejuang bangsa dan kemerdekaan hasil dari fikrah songsang yang mereka perjuangkan.

Keadaan ini boleh dilihat pada segala sudut dan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat pada umat Islam kini. Lihat sahaja muda-mudi dimana-mana negara umat Islam. Secara umumnya mereka adalah golongan yang paling banyak terkesan dengan kanser akidah dan ideologi ini. Mereka bukan sahaja berpakaian dengan pakaian yang tidak melambangkan imej Islam, bahkan tanpa segan silu dan berbangga dengan pakaian-pakaian yang melambangkan agama lain dan ideologi-ideologi sesat. Itu belum lagi disebut soal aurat dan pakaian dari sudut agama dan menepati sunnah.

Hasil dari kejahilan akidah dan pegangan tersebut, maka ianya sudah tentu akan melahirkan satu bangsa dan generasi yang sangat jahil dari segi hukum dan perlaksanaan konsep keagamaan dalam kehidupan. Yang lebih menyedihkan, mereka lebih suka mempertikaikan hukum-hukum Islam daripada mempelajari dan merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Malah mereka juga lebih suka menafsir dan mengolah hukum mengikut kesesuaian hawa nafsu mereka sendiri. Keadaan ini menjadikan mereka semakin hari semakin jahil dan jauh terpesong dari panduan dan hidayah Islam yang sebenar.

Realitinya, kesan dari kejahilan yang berlapis-lapis dari dua sudut diatas sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah dan kekeliruan dalam diri individu muslim, masyarakat dan negara umat Islam. Masalah yang paling jelas dan meruncing ialah masalah keruntuhan akidah yang sangat parah. Kes murtad dengan peratus yang sangat tinggi, ajaran sesat yang sangat berleluasa dan juga hukum-hukum agama samada dalam perkara dasar dan cabang yang sering dipermain dan dipertikaikan.

Kanser akidah ini terus merebak sehingga menzahirkan pelbagai symptom dan penyakit zahir yang melemahkan jiwa dan jasad masyarakat Islam. Lihat sahaja masalah gejala akhlak dan moral yang sudah tidak terbendung lagi. Ianya bertitik tolak daripada kepimpinan negara yang lemah dan sistem pendidikan negara yang lompang disana-sini serta undang-undang ciptaan manusia yang sudah terbukti jelas tidak mampu menyelesaikan masalah manusia. Keadaan ini bertambah buruk dengan kemasukan tanpa kawalan pengaruh budaya barat yang sesuai dengan nafsu serakah manusia dan melawan fitrah kemanusiaan dan tuntutan agama.

Selain itu, masyarakat Islam juga dijangkiti dengan virus ideology yang meyeleweng dan tersasar jauh dari panduan dan tuntutan Islam yang sebenar. Mereka lebih suka mementingkan kebendaan dan apa yang zahir dipandangan mata. Idealisma-idealisma songsang seperti Liberalisme, Pluralisme, Hadharisme, Sekularisme dan bermacam-macam lagi isme sesat semakin diterima pakai dan dijadikan pegangan dalam perjalanan kehidupan. Malah perjuangan memartabatkan fikrah-fikrah tersebut dibuka luas dan diberi segala macam kemudahan terutamanya melalui media massa samada media elektronik dan media cetak.

Penyakit-penyakit rohani dan jasmani yang disebutkan tadi akhirnya menyebabkan ummah hilang kesatuan dan berpecah belah. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman di dalam surah Yunus :

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

Sebab utama kedaan ini seperti yang disebutkan diatas ialah mereka menurut hawa nafsu dan syaitan dengan menolak, melupakan dan mengabaikan hukum-hukum Allah serta menganggap ianya adalah tidak wajib dan perkara yang kecil sahaja. Dengan berterusannya keadaan ini, akhirnya Allah SWT menanamkan sifat kebencian dan permusuhan di dalam hati-hati mereka. Hal ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah Al Maai'dah :

Dan diantara orang-orang yang berkata " bahawa kami ini orang-orang Nasrani", kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka. maka mereka juga melupakan (meniggalkan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang mereka kerjakan.

Bersambung...

Friday, May 22, 2009

Al Waqi'eyyah Al Mithaliyyah-Antara Keindahan dan Kecantikan Islam


Sudah lama juga saya biarkan blog ini bersawang. Sekarang sudah mula fatrah bulan ibadah dan mujahadah, bulan imtihan. Ustaz-ustaz dan para pensyarah sudah mula sibuk membuat kuliyah dan kelas-kelas idofiy. Semuanya gara-gara nak habiskan muqarrar. Inilah salah satu kelemahan sistem pengajian macam ni. Kita sebagai pelajar jurusan agama ni tak dapat nak istia'ab secara mendalam dalam ilmu-ilmu yang diajar. Akhirnya semuanya terpulang kepada pelajar itu sendiri untuk menambah nilai tambah pada apa yang diberi...

Semalam saya menghadiri seperti biasa kelas idofiy subjek Tarikh Khulafa' atau sejarah pemerintahan dalam Islam. Baru sahaja habis bab futuhat (pembukaan negara-negara). Satu bab yang panjang dan menginsafkan. Saya sangat tertarik dengan satu pokok perbincangan yag dilontarkan oleh Dr Abdul Rahman Syuja' tentang natijah futuhat. Salah satunya ialah Al waqi'eyyah wal mithaliyyah yang menjadi salah satu dari kecantikan dan kecemerlangan Islam. Saya pada mulanya agak keliru dan kurang faham tentang maksud al waqi'eyyah dan al mithaliyyah itu walaupun secara harfinya saya faham apa maksud kedua-dua kalimah tersebut yang memberi maksud realiti dan contoh tauladan. Apa yang menjadi persoalan ialah fikrah yang terkandung di dalam kedua-dua istilah tersebut.


Dr Abdul Rahman mula menerangkan tentang kedua-konsep tersebut secara detail. Contoh dan penerangan yang diberikan sangat mudah difahami. Beliau menyatakan bahawa Al Waqi'eyyah atau realiti didalam Islam bukanlah seperti apa yang ditakrifkan oleh pemikir-pemikir Eropah yang membawa masyarakat dan individu kearah kehancuran tamadun manusia dan hidup yang besifat kebinatangan, akan tetapi ianya memberi maksud yang jelas bahawa realiti dalam Islam ialah mengaplikasikan dasar-dasar yang bersifat jelas dan membumi dalam perjalanan kehidupan manusia. Dari sudut ini, Islam meraikan semua aspek kehidupan manusia tanpa meninggalkan tuntutan-tuntutan semasa yang bersifat fitrah. Maksud tuntutan fitrah manusia ialah keinginan fitrah manusia kepada kehendak-kehendak kelazatan dunia dari tabiat syahwat manusia, mengumpulkan harta dan sebagainya bahkan Islam menjadikan segala kehendak-kehendak ini sebagai wasilah untuk mencapai maksud sebenar kehidupan manusia iaitu kebahagiaan di negeri akhirat. Wasilah inilah yang dinamakan Al Mithaliyyah.


  Sebagai suatu contoh, kalau sekiranya kita melihat seseorang terjatuh didalam lubang najis. Kebersamaan kita dalam menghadapi realiti buruk yang berlaku ini bukanlah menuntut dan menyebabkan kita bersama-sama terjun kedalam lubang najis tersebut, akan tetapi kebersamaan kita dalam menghadapi realiti tersebut ialah dengan cara kita menghulurkan tangan dan bantuan mengeluarkannya dari lubang tersebut, membersihkannya serta mensucikannya dari segala kekotoran. Kita tidak perlu bersama-sama terjun ke lembah yang hina diatas dasar dan alasan bahawa kita perlu menghadapi realiti dan berpijak dibumi yang nyata.


Dalam hal ini Allah SWT telah menyatakan didalam Al Quran

 

 "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".


Allah SWT berfirman lagi


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orangyYang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.


Dengan sebab itu Allah SWT menghamparkan kepada keinginan rohani manusia jalan untuk mendapatkan kebahagiaan abadi di akhirat. Tawaran Allah itu dinyatakan didalam banyak ayat antaranya 


Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).


Dalam masa yang sama Allah juga menhampar dan meraikan tuntutan keinginan fitrah manusia didalam ayat yang sama


Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.


Maka dengan sebab itulah kita melihat didalam soal pembahagian harta ghanimah yang didapati dari medan-medan jihad dibahagi-bahagikan diantara tentera-tentera dengan cara dan jalan yang ditentukan oleh kitab Allah.


Dan ketahuilah, Bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka Sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", Iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Dalam hal ini juga Baginda SAW telah bersabda: Sesiapa yang membunuh musuhnya (didalam peperangan), maka baginyalah semua harta dan barang-barang yang ada pada diri musuhnya itu.


Semua ini menunjukkan sebahagian dari mura'ah Islam terhadap realiti semasa keadaan manusia kerana mereka dalam keadaan menerima balasan baik pada khidmat dan ketaatan harta dan nyawa mereka di jalan Allah SWT. Maka dua entiti (dunia dan akhirat) tersebut dijalin dan disistemkan dalam satu ikatan yang satu untuk membentuk jatidiri Insan muslim yang sempurna. 


Semua sifat dan jatidiri diatas diterjemahkan didalam kehidupan Rasulullah dan para sahabat R.Anhum terutamanya dalam siri-siri futuhat dan peperangan. Terdapat satu kisah yang sangat mengharukan yang berlaku didalam peristiwa Ajnadain pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi(tahun-tahun futuhat). Terdapat seorang sahabat yang bernama Aban bin Said bin A'sh. Beliau telah mengahwini Ummu Aban binti Utbah ketika dalam waktu perang. Beliau mengahwini isterinya pada malam jumaat. Pada malam sabtu keesokan harinya sebelum sempat beliau bermalam dengan isterinya, somboyan peperangan dibunyikan dan beliau turun ke medan juang dan berjihad sehingga akhirnya beliau gugur sebagai syahid diwaktu subuh.


Kisah ini juga berlaku kepada saudaranya Khalid bin Said bin A'sh pada peristiwa Maraj Safar pada tahun yang sama. Beliau mengahwini Ummu Hakim binti Al Harith (balu kepada Ikrimah bin Abu Jahal yang syahid pada peperangan yang sebelumnya). Beliau hanya sempat bermalam satu malam bersama isterinya. Pada waktu subuh keesokan harinya, syiar peperangan dilaungkan. Sebelum sempat beliau menjamah apa-apa makanan, beliau terus terjun ke medan jihad sehingga beliau akhirnya gugur syahid. Apa yang menarik ialah pada peperangan tersebut Ummu Hakim juga turut mengikat baju pengantinnya dan bersama-sama turun ke medan jihad sehingga beliau akhirnya bersama-sama mengikut jejak kedua-dua suaminya pulang ke pangkuan Allah sebagai syuhada sehingga warid dari beberapa orang sahabat bahawa ketika beliau turun ke medan perang, masing-masing boleh mnencium bau pengantin yang masih ada di jasad Ummu Hakim. 

   

Seseungguhnya inilah matlamat yang ada didalam Al Waqi'eyyah dan mereka sentiasa berfikir untuk melaksanakan realiti yang mereka inginkan. Dalam masa yang sama matlamat Mithaliyyah juga diaplikasikan dengan meninggalkan segala kelazatan dan keinginan dunia didalam sekelip mata tanpa berfikir dua kali walau sekejap cuma kerana tamak pada apa yang menanti mereka pada kenikmatan syurga. Dalam susana perang mereka masih lagi boleh melaksanakan tuntutan fitrah manusia dan juga boleh meninggalkan segala apa yang nereka inginkan itu semata-mata inginkan keredhaan Allah SWT.


Kalau sekiranya ummat Islam dewasa ini memahami dan mentatbiqkan dua aspek ini disamping syarat-syarat kemenangan yang lain, sudah tentu Allah SWT akan mengurniakan An Nasr atau pertolongannya samada menang dan syahid  di medan jihad ataupun thabat didalam perjuangan kerana dengan sifat-sifat inilah syarat kemenangan akan sempurna dan akan mengangkat Islam ke mercu kecemerlangan sepertimana apa yang telah berlaku didalam siri-siri futuhat Islam keatas negara-negara di dunia sehingga Islam dapat menguasai dua pertiga dunia.


 Allahumma Thabbit Quluubana Ala To'atik       

Wednesday, April 22, 2009

Mukjizat Rasulullah SAW - Siri 1- Pembelahan Bulan


"Zi, bahas enta siap tak lagi?." Tanya seorang sahabat. Saya terfikir-fikir, ada ke assignment yang perlu disiapkan. "Bahas apa pulak?."Balas saya. "Laa..enta ni,bahas aqidah tentang mukjizat Rasulullah tu. Orang lain semua dah nak siap. Minggu ni kena hantar". MasyaAllah!!..saya langsung tak ingat!. Terus saya teringat buku Bayyinaat Ar Rasul Wa Mukjizatihi karangan Syeikh Abdul Majiz Az Zindani. Malam ni kena mula buat jugak macam mana pun azam saya!.

Pada malamnya saya mula membelek-belek kitab itu. Saya terfikir sendirian..Selama ini, kita selalu mendengar tentang mukjizat nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain. Banyak yang kita tahu. Tapi Rasulullah SAW, terlalu banyak mukjizat baginda yang kita tak tahu atau tak ambil cakna. Setakat sikit-sikit tu adalaa…Para pejuang Islam sendiri kalau ditanya, berapa kerat sangat yang boleh menjawabnya. Setakat 2 atau 3 mukjizat tu tahulah kot. Tak payah pergi jauh, saya sendiri setelah berkira-kira hanya 5 mukjizat sahaja yang ada dalam kepala. Rasa malu pada diri sendiri. Padahal hampir 50 mukjizat baginda SAW yang ada tercatat di dalam kitab-kitab hadith. Saya berkata sendirian..Tentang mukjizat ni kalau diterjemah dan dikongsi dengan sahabat-sahabat pun elok jugak. Lagipun adalaa..jugak idea nak letak dalam entry blog. Boleh buat bersiri lagi. Tapi tak nak laaa..tabahhur atau lebih-lebih sangat sampai nak cerita tentang sains Al Quran atau apa-apa. Sekadar cerita mukjizat saja tu bolehlah. Kalau ada tambahan sikit-sikit tu bolehlaaa nak cerita. Nak buat artikel pada benda-benda lain rasanya dah tak ada masa. Banyak sangat tugasan sekarang.

INSYIQAAQUL QAMAR (PEMBELAHAN BULAN)


Saya pasti sudah ramai diantara kita yang tahu tentang peristiwa pembelahan bulan yang berlaku pada zaman nabi SAW di Mekah. Ianya berlaku sebelum hijrah baginda SAW ke Madinah. Peristiwa bersejarah ini ada diabadikan di dalam Al Quran dan kitab-kitab hadith dan Sirah yang muktabar termasuk Sahih Bukhari dan Tirmizi.

Pada suatu ketika, kaum kuffar dan musyrikin Mekah telah meminta Rasulullah SAW memperlihatkan kepada mereka alamat dan tanda-tanda kebenaran kenabian baginda SAW. Anas r.a telah berkata tentang hal ini bahawa Rasulullah SAW telah diminta oleh ahli Mekah supaya memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kebenaran dakwaan kenabian baginda Rasulullah SAW. Maka baginda pun menunujukkan kepada mereka bulan yang terbelah dua sehingga semuanya dapat melihat gua Hira' di antara dua belahan tersebut.

Abdullah bin Mas'ud r.a pula berkata seperti yang tercatat di dalam Sahih Bukhari bahawa bulan telah terbelah kepada dua dan ketika itu kami berada bersama Rasulullah SAW. Maka Baginda SAW pun berkata kepada mereka, saksikanlah!..saksikanlah!. Di dalam riwayat yang lain ada menyatakan bahawa ketika peristiwa itu mereka semua berada di Mina.

Perkara besar ini juga diakui di dalam hadith-hadith yang lain sepertimana yang disebut oleh Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar r.anhuma.

Allah SWT telah mengabadikan peristiwa agung ini di dalam kertas kerjaNya dan bagaimana kaum musyrikin ketika itu yang mendustakan mukjizat ini serta mendakwa ianya sihir. Sepertimana yang disebut di dalam surah Al Qamar ayat 1 hingga 3

Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).

Kisah penolakan kaum kafir seperti yang disebut di dalam Al Quran ketika melihat mukjizat ini juga agak lucu. Abu Jahal yang melihat peristiwa ini dan juga salah seorang antara ketua kuffar Mekah ketika itu mengatakan" Muhammad telah menyihir kita semua, tetapi dia tidak akan dapat menyihir semua penduduk di dunia ini. Mari kita menunggu sehingga penduduk-penduduk di hujung Mekah datang. Kalau mereka mengatakan mereka juga melihat bulan telah terbelah, maka benarlah Muhammad dan kalau mereka mengatakan yang sebaliknya, maka kita semua akan tahu bahawa ianya adalah sihir semata-mata". Apabila penduduk-penduduk di hujung Mekah datang kepada mereka dan mengatakan mereka melihat bulan telah terbelah, Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya terus berkata, "Wah!, sungguh hebat sihir Muhammad!".

Ibnu Hajar Al Asqolani juga ada berkata bahawa hadith yang menceritakan tentang pembelahan bulan ini ada disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali, Huzaifah bin Yaman, Jabir, Ibnu Math'am, Ibnu Umar dan lain-lain sahabat. Perkara ini juga disebut oleh seorang muhaddith, Ibnu Abdul Bar bahawa peristiwa ini diriwayatkan oleh sebahagian besar sahabat baginda SAW dan juga para Tabi'en selepas mereka serta dinaqalkan daripada sekumpulan muhaddithin yang ramai sehingga sampai dan berakhir kepada kami. Ditambah lagi dengan dalil Al Quran yang menyokong perkara tersebut. Maka tidak ada alasan untuk berlakunya uzur (pertikaian kebenaran peristiwa ini).

Al Khattabi juga ada mengatakan sepertimana yang disebutkan di dalam Kitab Fathul Bari bahawa peristiwa pembelahan bulan ini adakah satu mukjizat dan tanda agung yang tidak dapat dipertikaikan sesuatu pun tentang kebenaran tanda-tanda kenabian. Ianya berlaku di angkasa raya yang diluar dari tabiat semulajadi alam semesta yang berlapis-lapis. Maka tidak ada alasanlah bagi mereka yang ghairah mahu mempertikaikan peristiwa ini dengan helah-helah yang lain. Maka dengan itu, jadilah bukti-bukti yang telah dinyatakan lebih kuat dan jelas.

Melihat kepada perspektif sains dan suasana kontemporari, peristiwa ajaib ini telah dibuktikan dan diakui oleh beberapa saintis-saintis termasuk mereka yang bukan beragama Islam sehingga dengan kebenaran peristiwa tersebut menyebabkan mereka memeluk agama Islam.


Terdapat satu kisah yang sangat masyhur berkenaan seorang poiltikus dan ahli ekonomi Britain, Daud Musa Bikuk yang membentuk parti Islam di Britain selepas keislamannya dan sekarang menjadi presiden di dalam parti tersebut. Cerita tentang sebab keislamannya adalah begini. Dalam beliau sedang mencari-cari maklumat dan kebenaran tentang agama, seorang sahabatnya telah menghadiahkan kepadanya senaskah Al Quran terjemahan di dalam bahasa Inggeris. Beliau pun membaca terjemahan tersebut sehinggalah sampai kepada ayat pertama surah Al Qamar yang menceritakan bahawa bulan telah terbelah dua. Dia terus berkata penuh rasa pelik dan janggal,"tengok ni!!, bulan telah terbelah??!!". Lantas beliau menutup Al Quran tersebut dan tidak membukanya lagi.

Tidak berapa lama kemudian, semasa beliau sedang menonton sebuah rancangan di dalam siaran televisyen BBC yang memaparkan perbincangan antara stesen penyiaran tersebut dengan tiga orang ahli sains dan astronomi Amerika yang berkerja dengan pihak National Aeronautics & Space Administration (NASA). Stesen tersebut menyalahkan Amerika kerana membelanjakan berbilion dolar untuk projek angkasa dalam masa yang sama berjuta-juta manusia menderita akibat kemiskinan.

Ahli sains tersebut cuba untuk menerangkan sebab dan alasan mengapa projek eksplorasi angkasa ini sangat penting dan akhirnya menyatakan projek itu menelan belanja sebanyak 100 bilion dolar. Stesen itu mempertikaikan lagi dengan menyatakan " kamu membelanjakan duit yang sangat banyak hanya untuk meletakkan bendera Amerika di bulan dan hanya untuk mencari persamaan apa yang ada di bulan dan di bumi?". Ahli saintis itu menjawab lagi dengan pelbagai alasan sehingga akhirnya membawa kepada perbincangan penemuan belahan yang ada di bulan yang dipanggil Belt Of Rocks atau lingkaran garisan batuan yang memanjang bermula dari atas permukaan bulan sehingga sampai ke bahagian dalam bulan yang sangat dalam. Mereka yang sangat terkejut dengan penemuan ini memberikan maklumat tersebut kepada ahli geologi mereka yang juga sangat terkejut bila mengetahui hal tersebut. Mereka akhirnya membuat kesimpulan dengan mengatakan perkara tersebut tidak mungkin dan mustahil terjadi kecuali bulan pernah terbelah dua dan kembali bercantum. Batu-batuan yang berlapis-lapis dan berlanggaran antara satu sama lain itu adalah kesan impak atau perlanggaran apabila berlaku proses dua bahagian bulan yang terpisah bercantum kembali.

Mendengar dan melihat apa yang dipaparkan di hadapan matanya, Daud Musa terus terlompat dari duduknya dan menyatakan " Ini adalah mukjizat Muhammad yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu, dan sekarang orang-orang Amerika membelanjakan berbilion dolar untuk membuktikannya kepada orang-orang muslim". Dia kemudian berkata lagi " ini semestinya agama yang benar". Akhirnya surah Al Qamar yang pada mulanya menyebabkannya tidak mempercayai Islam akhirnya menjadi sebab kepadanya untuk memeluk Islam.

Menurut sumber sains yang lain pula, Allah SAW sengaja mencantumkan bulan selepas pembelahannya secara berbeza dan bukan dengan keadaannya yang asal. Ini dapat dilihat apabila kita meneliti garisan belahan bulan yang melingkungi bulan. Garisan tersebut seperti berbeza dan lari sedikit daripada keadaannya yang asal. Kesan itu terlihat pada bukit-bukit, gunung-gunung dan kawah-kawah yang berada pada garisan belahan bulan yang memanjang. Maksudnya kalau hujung kawah yang berada di sebelah kanan ketika ianya terbelah, setelah bercantum ianya tidak betul-betul menyamai dengan hujung kawah sebelah kiri yang separuh lagi. Kesan yang sama terlihat di bukit-bukit dan gunung-gunung di bulan sepanjang garisan belahan bulan. Subhanallah..Allah sengaja meninggalkan kesan yang sememangnya tidak kebetulan itu untuk memperlihatkan kebesaranNya dan kebenaran baginda SAW kepada kita manusia yang hidup di akhir zaman ini.

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka Bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) Bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu-Fussilat-53

Tuesday, July 8, 2008

Isu MPKB-Apabila Hukum Islam Dianggap Remeh

Dewasa ini, seperti menjadi adat dan budaya setiap hukum Islam akan ditentang oleh penganutnya sendiri samada mengenai perkara dasar mahupun cabang. Berbagai alasan dilontarkan agar ianya kelihatan tidak lagi relevan, kolot dan sebagainya. Fenomena ini memberi impak kepada masyarakat umum terutamanya masyarakat non-muslim yang memerhatikan pertikaian isu antara kita sesama Islam. Pertikaian ini menyebabkan musuh-musuh Islam terus menunggu ruang-ruang kosong untuk dicelah masuk bagi memperkotak-katikkan umat Islam. Terdapat juga di kalangan mereka yang hanya menyokong keputusan yang dibuat tanpa sebarang bantahan agar segala kemudaratan dan kehancuran dapat dihalang dan dihapuskan. Amat menghairankan, bagaimana langit bertukar ke bawah dan bumi ke atas??.

Isu undang-undang pemakaian yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) baru-baru ini bukanlah sesuatu yang dianggap pelik apabila ianya lantang dipertikaikan oleh mereka yang berpendidikan dan beragama Islam. Kerajaan Negeri Kelantan melalui bidang kuasanya yang sangat terhad hanya menjalankan tugas mereka sebagai pemimpin kerajaan yang amat prihatin terhadap rakyatnya juga bertindak sebagai ayah untuk melindungi dan memayungi semua anak rakyatnya dari segala kemudharatan malahan lebih besar dari itu bahana azab Allah SWT di dunia dan akhirat. Sikap bertanggungjawab kerajaan Negeri ini, tidak sepatutnya dipertikaikan. Tetapi yang amat menghairankan, mengapa segala penentangan datang dari luar Kelantan sedangkan majoriti puteri Kelantan menyokong dan menilai undang-undang itu sebagai suatu keputusan yang positif.


Hasil dari ketidakpuasan hati itu, timbullah puluhan alasan lapuk dan berbahaya seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bergelar ustazah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim telah menyatakan apa yang dilakukan kerajaan Kelantan sebagai memperbesarkan isu remeh temeh berbanding memikirkan masalah gejala sosial dan masalah besar yang lain. Menteri di Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil pula tidak kurang juga lantang berhujah dengan membuat kenyataan “It is so disrespectful to the women there. The ruling makes it seem like women cannot decide for themselves what they should or should not wear and need the government to help them decide”.

Mereka menyatakan bahawa kerajaan Kelantan tiada hak untuk mempersoal dan mencampuri urusan individu. Terpulanglah kepada individu tersebut untuk memakai apa sahaja yang disukainya. Segala macam alasan ini terlalu terbawa-terbawa dengan hujah-hujah akal manusia yang cetek sehingga terkadang membawa kepada hujah-hujah dangkal yang semacam tidak siuman dan hilang punca. Seperti kes wanita yang dirogol, kenapa wanita yang menerima hukuman dan undang-undang?. Ada juga yang berpendapat kebanyakan mangsa rogol adalah wanita yang berpakaian sopan termasuk kanak-kanak yang belum pandai berlagak seksi dan sebagainya. Bila timbul perasaan hasad dengki dan tidak puas hati, maka masing-masing dengan ghairah membuat dan memasukkan segala “perisa tambahan” ke dalam kenyataan yang dibuat oleh MPKB-BRI termasuk mengatakan pamakaian tudung diwajibkan kepada semua wanita di Kelantan dan dilarang memakai ginju dan kasut tumit tinggi sehingga menyebabkan salah faham semua kaum dan agama di seluruh Malaysia.

Di dalam agama Islam, aspek berhak atau tidak sesebuah kerajaan mengenakan undang-undang ke atas rakyatnya telah lama digariskan oleh ulama. Kalau kita mengkaji ilmu usul fiqh, disana terdapat satu kaedah yang berbunyi :



Yang bermaksud: perbuatan atau tindakan pemimpin keatas rakyatnya adalah bergantung kepada maslahah ( kebaikan). Garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam ini menuntut ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin sepertimana yang telah ditetapkan oleh Islam.

Allah SWT telah menegaskan di dalam Al Quran di dalam surah An Nisa, ayat 59

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Ketaatan yang dituntut oleh Islam hanyalah kepada pemimpin “dari kalangan kamu”. Kata ganti nama “kamu” di dalam ayat tersebut merujuk kepada kalangan orang yang disifatkan Allah sebagai orang-orang yang beriman. Maka segala ketaatan hendaklah diberikan kepada pemimpin tersebut selagimana arahan tersebut berdasarkan kepada maslahah. Akan tetapi sekiranya arahan tersebut membawa kepada mafsadah (kerosakan) maka ianya wajib diingkari berdasarkan konsep tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam urusan maksiat kepada Allah sepertimana arahan Rasulullah SAW di dalam hadithnya :

Daripada Abdullah RA daripada Nabi SAW bersabda : Dengar dan taat keatas seseorang muslim pada apa yang disukai dan dibenci selagimana tidak disuruh dalam perkara maksiat. Apabila diperintah pada perkara maksiat, maka tidak boleh didengari dan ditaati.
(Riwayat At Turmizi)

Di dalam isu ini, maslahah yang dilihat oleh kerajaan Kelantan adalah besar kerana ianya berdasarkan suruhan dan tuntutan agama sepertimana yang telah digariskan oleh Al Quran di dalam surah An Nur, ayat 30 dan 31:

“Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.
Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Allah SWT berfirman lagi didalam surah Al Ahzab ayat 59 :

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Maslahah yang diambil kira di dalam ayat-ayat di atas bukanlah maslahah yang mendatang ataupun maslahah yang termasuk di dalam kategori hajiyyat (keperluan) dan kamaliyyat (kesempurnaan), tetapi ianya termasuk di dalam perkara Dhoruriyyat ( keperluan asas) kerana ianya melibatkan urusan agama. Ia juga termasuk di dalam bab penjagaan Islam terhadap 5 perkara asas dalam kehidupan manusia iaitu menjaga keturunan. Melihat kepada betapa Islam mengambil berat soal keturunan dan kemuliaan wanita, bagaimana pula dengan pandangan dari cerdik pandai Islam yang mengatakan bahawa hal yang sedemikian rupa adalah perkara remeh temeh, bukan perkara besar dan penghinaan terhadap wanita. Apakah definisi remeh temeh dan penghinaan bagi mereka??.

Yang jelas, mereka hanya bercakap melalui lidah dan perut tetapi tidak melalui hati dan iman. Bukankah kita sering mendengar mencegah itu lebih baik dari mengubati?. Siapa yang ingin menafikan gejala zina, seks bebas, pembuangan bayi, aids, sumbang mahram dan sebagainya adalah pada asalnya berpunca dari pandangan. Kita selalu mendengar pepatah “dari mata turun ke hati”. Dari hati sudah tentu beralih kepada perbuatan. Adakah pepatah itu hanya dilihat dari aspek cinta biasa sahaja?. Sudah pasti undang-undang yang dilaksanakan kerajaan Kelantan itu adalah untuk mencegah dari berlakunya punca kepada segala punca. Mengapa langkah yang diambil itu langsung tidak dilihat sebagai langkah pencegahan malah hanya dilihat sebagai modal perluasan landskap politik kerajaan Kelantan semata-mata?.

Di dalam Islam juga, aspek amar makruf nahi mungkar menjadi asas dalam kehidupan manusia. Menyuruh kepada kebaikan adalah dikira boleh dan mampu dilakukan oleh semua individu tetapi tidak semestinya semua individu boleh melaksanakan nahi mungkar. Tidak dapat tidak ianya mesti disempurnakan oleh kerajaan jika individu itu tidak mampu melaksanakannya berlandaskan kepada konsep fardhu kifayah. Rasulullah SAW pernah bersabda :

Daripada Abu Said Al Khudri RA berkata : aku mendengar Baginda Rasulullah SAW bersabda. Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia menghalangnya dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu hendaklah lengan lidahnya (kata-katanya). Jika tidak mampu hendaklah ia benci padanya dengan hatinya dan sesunggunya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Dalil hadis di atas telah menjelaskan bahawa arahan kepada amar ma’aruf nahi mungkar adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan. Melaksanakannya dengan tangan atau kuasa pada sesetengah perkara hanya boleh dilakukan oleh kerajaan bukannya individu. Pemakaian wanita yang tidak menutup aurat dan tidak menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Islam adalah satu perbuatan mungkar dan wajib dicegah. Maka pencegahan itu jika tidak dapat dilakukan oleh individu dan masyarakat, hendaklah ia disempurnakan oleh kerajaan. Kerajaan yang sah dan berautoriti wajib mencegah dan menghalang dari berlakunya perkara-perkara yang dianggap mungkar dari berlaku. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan sudah tentu dianggap menunaikan tanggungjawab yang tidak mampu ditunaikan oleh orang lain. Ianya juga adalah di bawah bidang kuasa mereka bertepatan dengan perlembagaan yang termaktub di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976. Perlembagaan manusia jika dibandingkan dengan perlembagaan Allah, sudah pasti perlembagaan Raja segala raja yang perlu diutamakan.

Beberapa pihak menyatakan perlaksanaan sesuatu hukum mestilah secara beransur-ansur supaya rakyat tidak memberontak. Dari fakta dan senario yang berlaku, kerajaan Kelantan sudah lama mendidik dan memberi penerangan kepada rakyatnya supaya menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan. Ianya dapat dilihat dengan pelbagai kempen dan tindakan yang dilakukan seperti Kempen Menutup Aurat, Bulan Solat dan sebagainya. Lihat sahaja polisi-polisi pengiklanan di Kelantan, wanita muslim perlu bertudung dan ianya kelihatan sungguh sopan dalam keadaan sebegitu sehinggakan dalam satu akhbar sisipan Bi Pop Berita Minggu menyiarkan perbandingan gambar Maya Karin yang anggun bertudung menghiasi papan-papan iklan Celcom di serata Kelantan berbanding di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain. Malah ianya ditiru oleh negeri yang lain seperti di Terengganu. Bukankah itu adalah suatu yang positif dan bukankah juga ianya adalah salah satu langkah pendidikan yang dilaksanakan kerajaan Kelantan untuk rakyatnya dan untuk rakyat Malaysia amnya?. Dengan sebab itulah kita melihat wanita Kelantan yang faham dan sudah terdidik tenang tidak terlompat melatah sebaliknya yang di luar Kelantan menjerit terkinja-kinja sehingga rebah.

Sememangnya sudah menjadi tugas kerajaan untuk membuat undang-undang pada sesuatu yang dianggap maslahah dan tidak melanggar syariat Allah SWT kerana tugas utama sesebuah kerajaan pada perspektif Islam ialah “Hiraasatuddin wa Iqaamatud dunya bihi” yang bermaksud menjaga agama dan mentadbir dunia ini dengannya. Bilamana begitu, menjadi kewajipan keatas kerajaan untuk melaksanakan semua tuntutan syarak dan menjauhkan larangannya. Di dalam konteks di Kelantan, apabila disebut tentang “daulah”, ia bermaksud pemerintahan atau kerajaan Islam yang bersifat sejagat. Bukan hanya melibatkankan soal hukum hakam seperti hudud, jual beli, nikah kahwin dan sebaginya, tetapi melibatkan juga soal-soal yang tidak kurang juga pentingnya seperti soal menjaga dan mengukuhkan aqidah, dakwah kepada non muslim, perlaksanaan syiar-syiar Islam, akhlaq ataupun moral Islam dan sebagainya.

Oleh sebab itu, apabila kerajaan dibolehkan untuk membuat undang-undang pada sesuatu yang mubah (harus) kerana maslahah dan politik Islam, sudah tentu perlaksanaan undang-undang pada sesuatu yang wajib adalah lebih dari itu. Secara logiknya, apabila Allah menyuruh Baginda SAW mengarahkan wanita-wanita muslim menutup aurat, ianya sama seperti Allah menyuruh sesebuah kerajaan Islam mengarahkan sekelian rakyatnya dikalangan wanita muslim membuat perkara yang sama kerana tugas kerajaan sama seperti tugas para nabi. Orang yang mempunyai akal dan mantiq yang waras sudah tentu mampu menilai perkara ini sebagai sesuatu yang mudah dan boleh diterima akal.

Jika dilihat melalui soal hak individu, mengapa tidak dipertikaikan undang-undang jalanraya?. Mengapa anggota polis, para doktor, jururawat, anggota bomba diwajibkan memakai pakaian seragam, kad nama dan sebagainya ketika menjalankan tugas ?. Bukankan menurut hak individu, mereka berhak memakai apa sahaja yang mereka mahu. Mengapa undang-undang menutup aurat dan berpakaian sopan bagi orang Islam dan bukan Islam ketika berniaga di Kelantan tidak dilihat pada aspek yang sama?. Mengapa hak asasi manusia ini sentiasa dilihat dari sebelah pihak tanpa mengambil kira pihak yang lain?. Bukankah bilamana seseorang wanita berpakaian menjolok mata itu dalam masa yang sama telah mengganggu hak asasi kaum lelaki?. Persoalan yang sangat mudah dijawab tetapi sengaja disusahkan dan diputarbelitkan oleh sesetengah pihak. Teringat kepada kata-kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, “wanita yang berpakaian seksi sebenarnya telah melakukan gangguan seksual kepada golongan lelaki”.

Segala undang-undang, arahan, suruhan dan larangan di dalam Islam dan di dalam Al Quran sebenarnya tidak dapat lari daripada meliputi semua pihak samada hak individu, masyarakat, kerajaan dan negara. Segala kebaikan dari khitab Allah SWT adalah sentiasa kembali kepada hambanya walaupun dimata hamba ianya seperti mengganggu hak asasinya. Allah SWT telah menyebut di dalam kertas kerjaNya untuk kehidupan manusia di dunia :

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Surah: Yunus :57

Allah SWT menegaskan lagi :

Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Surah : Al Baqarah : 216

Setiap hamba perlu sedar bahawa hak asasi adalah pinjaman dari yang lebih berhak dan yang mencipta hak asasi tersebut. Hak asasi manusia adalah hak Allah SWT. Maka tidak layak bagi hamba untuk membuat pertikaian dengan Allah SWT berkenaan hak asasi yang hanya pinjaman dariNya.

Semua agama di dunia ini menyuruh dan menggalakkan kepada tingkah laku dan tindak tanduk yang baik. Kita percaya bahawa tidak ada agama yang melihat pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan adalah suatu yang baik. Sebab itulah di dalam semua agama adanya konsep perkahwinan untuk menghalang daripada menularnya pelbagai keburukan dan kemudharatan. Persamaan inilah antara sebab wujudnya toleransi antara semua agama, tinggal lagi kepercayaan, pegangan dan perlaksanaan sahaja yang membezakan. Mengapa undang-undang dan polisi dari agama lain dapat diterima secara berlapang dada tanpa mengaitkannya dengan hak individu?. Sedangkan apabila dikaitkan dengan Islam masing-masing cepat melenting dan mudah menghukum dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa segala alasan dan bangkangan yang dibuat adalah berpaksikan nafsu, kepentingan politik dan “rice cooker” sendiri semata-mata. Bukan berdasarkan fakta dan bukti apatah lagi berlandaskan dalil-dalil syari’e. Pandangan nafsu sentiasa menjadi hakim dalam setiap pertimbangan membuatkan mereka sentiasa melihat kaca bersinar seperti permata. Kompaun yang sedikit dan ringan membuat mereka lupa pada azab Allah yang jauh lebih besar dan pedih.

Yang pasti, apabila segala perlaksaan undang-undang yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Pas di Kelantan, ianya sudah tentu akan ditentang habis-habisan oleh juak-juak di dalam Umno dan Barisan Nasional samada kerajaan atau orang perseorangan. Ustaz dan ustazah hadhari akan segera dikerah bermuzakarah untuk menghalalkan penggezetan kalimah “boleh”, “tidak boleh”, “setuju” dan tidak setuju” menurut apa sahaja kemahuan mereka. Mereka bagaikan melihat kepentingan politik dan perut sudah menjadi kiblat di dalam kehidupan seharian. Tun Dr Mahathir dahulu pernah menyatakan untuk mengukuhkan sistem ekonomi Islam, penggunaan dinar emas adalah satu instrumen yang terbaik. Ketika itu ramai ahli-ahli ekonomi termasuk ahli-ahli politik bersetuju dan menganggap itu adalah satu pendapat yang sangat positif dan berpandangan jauh. Tetapi bila ianya dilaksanakan di Kelantan, ramai yang tidak bersetuju dan ada pula yang menentangnya. Adakah kerana dasar dan nama mereka yang berpaksikan Islam, maka mereka mesti dihentam di atas nama perjuangan hak asasi kemanusiaan?. Dalam hal ini kita melihat bahawa politik sempit diletakkan di hadapan dengan membelakangkan kepentingan rakyat dan agama walhal ianya bukanlah matlamat utama manusia diutus ke dunia. Era politik diasingkan dengan agama sudahpun berakhir. Sudah tiba masanya politik dilihat dari perspektif dan pandangan yang universal bertepatan dengan sifat Islam yang sentiasa syumul dan sesuai sepanjang zaman.

Dari sudut keuntungan politik, kerajaan Kelantan tidaklah akan mendapat publisiti positif yang meluas malah akan dieksploitasi habis-habisan dengan dilabelkan sebagai ekstrimis Islam, mundur, tidak mengambil kira sensitiviti agama lain dan sebagainya. Akan tetapi, apa yang berlaku, segala ancaman serta tohmahan tersebut diketepikan kerana tanggungjawab dan pandangan Allah diletakkan dihadapan. Malu kepada Allah melebihi malu kepada makhluk dan kepentingan politik mereka rela dikorbankan demi menunaikan tanggungjawab yang bakal dipersoalkan di padang Mahsyar kelak.

Oleh yang demikian itu, tidak ada hujah bagi mereka yang ingin menyangkal perlaksanaan undang-undang ini kerana pertimbangan hujah jika menurut akal cetek manusia semata-mata sudah tentu akan berlawanan dengan perlembagaan Al Quran dan sunnah yang jelas menetapkan bahawa menutup aurat dan taat kepada pemimpin pada perkara kebaikan itu wajib. Kalau pertimbangan hujah pula mengikut dalil-dalil Al Quran dan sunnah serta ditakwilkan sesuka hati seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak juga dikira batal dan sia-sia kerana tidak selari dengan maksud sebenar Al Quran dan sunnah yang telah disepakati oleh para ulama yang muktabar. Imam As Syatibi di dalam kitabnya Al Muwafaqat ada menegaskan :



Sesiapa yang mencari jalan untuk menentukan syariat selain dari apa yang disyariatkan padanya, sesungguhnya dia telah membatalkan syariat. Dan sesiapa yang membatalkannya maka perbuatannya dalam urusan pembatalan itu juga terbatal (sia-sia). Dan sesiapa yang berusaha untuk menentukan apa yang tidak disyariatkan padanya, maka usahanya itu juga dikira batal.
Islam mengangkat wanita pada satu martabat yang mulia. Mereka ibarat barang berharga yang harus dijaga dan diberi sepenuh perhatian malah lebih dari itu. Segala kecaknaan itu seharusnya tidak dilihat sebagai sesuatu yang negatif dan memberi mudharat. Sesuatu yang berharga dan bernilai bukankah sentiasa disimpan dan di”tutup” dengan selamat sehingga ianya hanya untuk dilihat bagi orang yang berhak dan layak melihatnya sahaja?. Kalau makanan dan barang berharga pun ditutup, inikan manusia yang lebih berharga dan indah ciptaannya. Sudah tentu ianya harus dilindungi dari segala kerosakan dalaman mahupun luaran.

Segala perancangan, arahan dan larangan yang datang daripada Allah adalah untuk membuka pintu-pintu kebaikan dan keberkatan buat manusia. Allah SWT berfirman :

“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka pintu keberkatan (pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.
Surah :surah Al A'raff :96

Keberkatan yang dijanjikan datang dari langit dan bumi itu akan datang sekiranya manusia dan rakyat sesebuah negara itu sentiasa beriman kepada Allah. Beriman itu memberi maksud meyakini dan menerima apa sahaja yang datang dari Allah samada baik dan buruk. Sifat-sifat orang beriman yang berjaya mendapat keberkatan, keredhaan dan syurga Allah SWT telah disebutkan oleh Allah 1400 tahun yang lalu dan antaranya ialah bagi orang yang menjaga kemaluan dan kehormatan mereka.

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).

Dan mereka yang menjaga kehormatannya.”
Surah :Al-Mu’minun: 1-5.

Biarlah mereka yang tidak beriman kepada Allah sahaja yang menentang segala hukum hakamNya kerana itu adalah sifat dan kerja mereka sejak dari dahulu lagi. Biarkan orang yang bernama Richard, Guan Eng, Bush dan Vellu yang menentang. Jangan lagi orang yang bernama Mashitah, Shahrizat, Muhammad dan Abdullah yang bersama mereka menjerit lantang. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". dan Demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.
Surah :al Baqarah :120



Pena: Khuwaidim wa Khuwaidimatul Islam
 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .