Wednesday, November 11, 2009

Islam Di Persimpangan, Antara Kejahilan Ummah dan Kelemahan Ulama 1

Islam adalah satu agama yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan kemenangan. Ianya pernah melalui zaman kegemilangan dan kemasyhuran. Ianya juga pernah melalui liku-liku keruntuhan dan kebejatan. Sudah pasti pada waktu dan ketikanya ianya pasti kembali bersinar dan terpasak kukuh mewarnai dunia. Tetapi persoalanya adalah, bilakah saat-saat itu akan berlaku sedangkan apa yang menjadi realiti sekarang bagaikan sebaliknya?. Kita sentiasa mendengar bahawa zaman mutakhir ini ialah zaman dimana Islam sedang mendaki kembali jurang kelemahan dan menuju kearah kegemilangan. Tetapi menurut perspektif yang lain pula, terdapat usaha tangan-tangan penganutnya sendiri yang begitu giat mencampak dan menjerumuskannya kembali ke jurang tersebut.

Seringkali diibaratkan bahawa Islam itu bagai air tenang yang sentiasa mengalir tidak akan putus. Tetapi dengan suasana yang berlaku dewasa ini, ianya bagai semakin perlahan dan tersekat-sekat bagaikan keliru untuk meneruskan alirannya lantaran hanya bertemu dua persimpangan yang bakal membekukannya. Mengalir ke laut bakal bertemu dengan kejahilan ummah, mengalir ke sungai disekat dengan kelemahan ulama. Keadaan serba salah ini sudah pasti akan menyebabkan aliran suci Islam bakal terhenti dan membeku seterusnya menjerumuskan kembali agama suci ini kedalam jurang kelemahannya kembali.

Fenomena Kejahilan Ummah Yang Menyedihkan

Suasana abad ke 21 ini bukan sahaja menyaksikan kepesatan pembangunan tamadun manusia, malah ia juga memaparkan satu episod kejahilan ummah moden yang melangkaui zaman kegelapan jahiliah umat-umat terdahulu. Melihat kepada senario yang berlaku di negara-negara umat Islam secara khusus, kita akan mendapati tahap kejahilan yang berlaku adalah amat serius dan tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku di barat. Akibatnya, negara-negara ini terus dijajah dan dikuasai tamadun dan pemikirannya oleh pihak barat yang memang sentiasa menginginkan keadaan itu berlaku.

Secara ringkasnya kita dapat melihat fenomena ini adalah diantara dua aspek yang saling kait mengait antara satu sama lain. Kejahilan dari sudut akidah dan pegangan atau kejahilan dari sudut hukum dan aplikasi konsep keagamaan dalam kehidupan. Bilamana kita bercakap soal kelemahan pegangan akidah sudah tentu ianya bertitik tolak daripada tahap dan nilai keimanan seseorang manusia terhadap penciptaNya. Terlalu ramai dikalangan umat Islam dewasa ini bagaikan sudah tidak kenal agamanya. Mereka hanya dikenali melalui nama Islamnya dan status keagamaan yang terdapat pada kad-kad pengenalan. Itupun sering dipertikaikan kebebasan dan keperluannya. Mereka bukan sahaja tidak mengenal Islam, malah budaya dan adat resam bangsa yang berasaskan keagamaan yang betul semakin hari semakin dilupakan bahkan dianggap ketinggalan zaman dan menghalang kemodenan. Lebih parah lagi apabila ada dikalangan mereka yang bermati-matian memperjuangkan ideologi tersebut diatas nama kemodenan dan hak asasi manusia . Tak kurang juga yang dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran bagaikan pejuang bangsa dan kemerdekaan hasil dari fikrah songsang yang mereka perjuangkan.

Keadaan ini boleh dilihat pada segala sudut dan nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat pada umat Islam kini. Lihat sahaja muda-mudi dimana-mana negara umat Islam. Secara umumnya mereka adalah golongan yang paling banyak terkesan dengan kanser akidah dan ideologi ini. Mereka bukan sahaja berpakaian dengan pakaian yang tidak melambangkan imej Islam, bahkan tanpa segan silu dan berbangga dengan pakaian-pakaian yang melambangkan agama lain dan ideologi-ideologi sesat. Itu belum lagi disebut soal aurat dan pakaian dari sudut agama dan menepati sunnah.

Hasil dari kejahilan akidah dan pegangan tersebut, maka ianya sudah tentu akan melahirkan satu bangsa dan generasi yang sangat jahil dari segi hukum dan perlaksanaan konsep keagamaan dalam kehidupan. Yang lebih menyedihkan, mereka lebih suka mempertikaikan hukum-hukum Islam daripada mempelajari dan merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Malah mereka juga lebih suka menafsir dan mengolah hukum mengikut kesesuaian hawa nafsu mereka sendiri. Keadaan ini menjadikan mereka semakin hari semakin jahil dan jauh terpesong dari panduan dan hidayah Islam yang sebenar.

Realitinya, kesan dari kejahilan yang berlapis-lapis dari dua sudut diatas sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah dan kekeliruan dalam diri individu muslim, masyarakat dan negara umat Islam. Masalah yang paling jelas dan meruncing ialah masalah keruntuhan akidah yang sangat parah. Kes murtad dengan peratus yang sangat tinggi, ajaran sesat yang sangat berleluasa dan juga hukum-hukum agama samada dalam perkara dasar dan cabang yang sering dipermain dan dipertikaikan.

Kanser akidah ini terus merebak sehingga menzahirkan pelbagai symptom dan penyakit zahir yang melemahkan jiwa dan jasad masyarakat Islam. Lihat sahaja masalah gejala akhlak dan moral yang sudah tidak terbendung lagi. Ianya bertitik tolak daripada kepimpinan negara yang lemah dan sistem pendidikan negara yang lompang disana-sini serta undang-undang ciptaan manusia yang sudah terbukti jelas tidak mampu menyelesaikan masalah manusia. Keadaan ini bertambah buruk dengan kemasukan tanpa kawalan pengaruh budaya barat yang sesuai dengan nafsu serakah manusia dan melawan fitrah kemanusiaan dan tuntutan agama.

Selain itu, masyarakat Islam juga dijangkiti dengan virus ideology yang meyeleweng dan tersasar jauh dari panduan dan tuntutan Islam yang sebenar. Mereka lebih suka mementingkan kebendaan dan apa yang zahir dipandangan mata. Idealisma-idealisma songsang seperti Liberalisme, Pluralisme, Hadharisme, Sekularisme dan bermacam-macam lagi isme sesat semakin diterima pakai dan dijadikan pegangan dalam perjalanan kehidupan. Malah perjuangan memartabatkan fikrah-fikrah tersebut dibuka luas dan diberi segala macam kemudahan terutamanya melalui media massa samada media elektronik dan media cetak.

Penyakit-penyakit rohani dan jasmani yang disebutkan tadi akhirnya menyebabkan ummah hilang kesatuan dan berpecah belah. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman di dalam surah Yunus :

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

Sebab utama kedaan ini seperti yang disebutkan diatas ialah mereka menurut hawa nafsu dan syaitan dengan menolak, melupakan dan mengabaikan hukum-hukum Allah serta menganggap ianya adalah tidak wajib dan perkara yang kecil sahaja. Dengan berterusannya keadaan ini, akhirnya Allah SWT menanamkan sifat kebencian dan permusuhan di dalam hati-hati mereka. Hal ini diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah Al Maai'dah :

Dan diantara orang-orang yang berkata " bahawa kami ini orang-orang Nasrani", kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka. maka mereka juga melupakan (meniggalkan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang mereka kerjakan.

Bersambung...

1 comments:

niey said...

salam. artikel yang menarik...keep it up..by the way..apa maksud fahin yea?
kata akar dari apa? menarik nama nie..:)

 
Design by Wpthemedesigner. Converted To Blogger Template By Anshul .