Islam Di Persimpangan, Antara Kejahilan Ummah Dan Kelemahan Ulama 2
Seringkali bila kita membicarakan soal kelemahan ulama, ianya tidak akan dapat lari daripada masalah ulama yang mementingkan diri dan ditawan pemikirannya. Ilmu yang dikatakan penuh didada bagaikan tidak mempunyai erti apabila bertembung dengan soal keduniaan dan martabat dipandangan manusia. Mereka juga sanggup menjual maruah agama dengan harga yang murah dan nilai yang hina. Golongan ini dinyatakan oleh Allah SWT yang bermaksud :
Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.
Sebahagian besar golongan yang dikatakan ulama masakini semakin lama semakin jauh dari maksud dan tuntutan sebenar ulama yang disebut oleh baginda Rasulullah SAW sebagai pewaris para nabi. Ulama yang ditakrifkan oleh sesetengah cendekiawan Islam ialah satu golongan agamawan yang arif di dalam setiap perkara di dalam satu bidang dan mengetahui dengan baik sesetengah perkara di dalam semua bidang. Akan tetapi realiti yang berlaku dewasa ini menunjukkan ulama hanya tinggal nama sahaja. Mereka tidak mempunyai persiapan keilmuan yang cukup dan bertepatan dengan waqie' dan tempat mereka berada. Ilmu-ilmu yang mereka kuasai hanya jumud dan tertumpu kepada apa yang tertulis didalam kitab-kitab fekah dan turath tanpa berusaha untuk mengembangkannya dengan penulisan-penulisan baru dan semasa. Mereka juga tidak dapat mengusai Fiqh Awlawiyat, Fiqh Muwazanat, Fiqh Mua'asoroh dan Fiqh Haraki dengan baik. Bahkan teramat malang, sebahagian besar dari ulama masakini tidak mengetahui langsung tentang fiqh-fiqh yang disebutkan tadi.
Selain itu, antara kelemahan yang jelas terlihat pada sebahagian besar golongan ulama abad ke 21 ini juga ialah mereka menutup terus pintu ijtihad terutamanya dalam perkara-perkara yang baru muncul dan tidak memahami adab ikhtilaf dengan baik. Sememangnya bila disoroti lembaran sejarah, kita akan mendapati ada diantara ulama-ulama terdahulu yang menutup pintu-pintu ijtihad disebabkan keserakahan ulama suu' yang menjad karzai para umara' diwaktu itu. Akan tetapi dalam masa yang sama, terdapat juga para Mujaddidin yang sentiasa berijtihad dan menyatakan hukum berpandukan sumber-sumber yang muktabar serta sentiasa mempertahankan Islam dari setiap cabaran-cabaran baru yang muncul di dalam masyarakat.
Akibat dari kelemahan diatas menyebabkan sebahagian para ulama sekarang saling bertelingkah pendapat dan berpecah belah terutamanya dalam perkara cabang dan dalam masa yang sama melupakan titik pertemuan dan perkara asas yang perlu disepakati dan diperjuangkan secara bersama. Permasalahan utama ummah yang kian membarah semakin diabaikan dan masalah khilaf yang telah lama dibincangkan dan dicapai kata putusnya oleh para ulama mujtahid terdahulu menjadi perkara asas dalam perjuangan. Kerana terlalu sibuk dengan apa yang kurang penting menyebabkan mereka lupa akan asas kesatuan ulama terdahulu dalam berhadapan dengan masalah perselisihan pendapat.
Selain itu juga, majoriti ulama sekarang seakan-akan melarikan diri dari menjadi umara dan pemimpin ummah. Mereka lebih suka berada pada zon selesa dengan gelaran ustaz kampung dan sekadar menjadi pemerhati senyap kepada urusan pemerintahan. Walhal gerak kerja umara ini juga adalah profession tetap golongan Rasul terdahulu. Kesenjangan yang sengaja diwujudkan ini menyebabkan masyarakat melihat golongan ulama hanya layak memimpin dalam konteks ibadat yang sempit dan dalam ruang linkup kehidupan yang terbatas.
Dalam keadaan penilaian masyarakat yang sebegitu rupa, sebahagian besar para ulama terus lupa dan leka dalam pendekatan dakwah mereka kepada masyarakat. Pendekatan para ulama dilihat tidak lagi bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan semasa masyarakat. Teknologi dan wasilah-wasilah moden yang sangat pesat berkembang nampaknya tidak digunakan sepenuhnya oleh para ulama sehinggakan mereka dilihat sebagai golongan yang ketinggalan zaman dan tidak bertamadun sedangkan fitrah Islam itu adalah waqi'iey dan sesuai sepanjang zaman. Cuba kita soroti sejarah ulama umara di zaman kegemilangan Islam. Islam dapat berkembang dan menguasai dua pertiga dunia kerana pendekatan ulamaknya yang sesuai dengan suasana, kehendak dan teknologi yang ada di waktu itu sehingga melahirkan generasi ulama-ulama muda dan baru yang lahir di dalam negara-negara yang mereka kuasai. Keadaan ini tidak akan dapat dicapai sekiranya mereka jahil dan tidak menggunakan segala method dan wasilah yang ada ketika itu.
Merangka Perubahan-Persediaan, Peranan dan Penyelesaian
Dalam kekalutan suasana ummah dan dunia yang ada sekarang, ulama tidak boleh lagi lena di dalam jaga menanti segala perubahan datang bergolek. Segala transformasi dan perubahan perlulah dijana dan digembeling secara bersama bermula dari grass root sehingga ke peringkat yang tertinggi. Ulama perlulah memahami Islam yang hak, syumul dan mendalam serta mengaplikasikannya didalam setiap aspek kehidupan samada dari sudut pemahaman realiti kehidupan umat Islam ataupun bukan Islam secara mantap.
Ulama juga hendaklah memahami hukum-hukum Islam khususnya di dalam aspek pensejarahan dan perubahan masyarakat. Untuk tujuan itu, mereka hendaklah memahami dengan baik maqasid syari'eyyah tanpa jumud melalui zahir nas dan dalam masa yang sama memahami fiqh awlawiyat dan hubungkaitnya dengan fiqh muwazanat serta adab dan tatasusila dalam mengahadapi perkara khilaf dikalangan ulama dan juga perbezaan pandangan dengan orang-orang bukan Islam. Dari sudut itu juga, ulama hendaklah cenderung dan sentiasa bersedia untuk berdialog dan bermuzakarah dengan orang lain samada orang Islam atau bukan Islam untuk memberi penjelasan sebenar tentang Islam.
Realiti pertelingkahan antara ulama hari ini menyaksikan sebab dan puncanya adalah kebanyakannya bertitik tolak dari masalah pertembungan antara pendekatan salafiyah dan khalafiah. Untuk itu, ulama masakini hendaklah menggabungkan pendekatan salafiyah dengan tajdid antara tuntutan tradisi dan keperluan semasa. Disamping itu, mereka juga perlulah sentiasa cenderung kepada pendekatan taysir di dalam memberikan fatwa tanpa ifrath dan juga tafrith dengan mengikut sumber-sumber pensyariatan yang sahih dan segala kaedah-kaedah yang telah disepakati oleh ulama-ulama terdahulu serta dalam masa yang sama menampilkan pendekatan tabsyir di dalam dakwah.
Selain dari itu, para ulama juga hendaklah mengimbangi tuntutan Dhawabit Al-Syara' dengan keperluan revolusi masyarakat yang mendesak. Dengan cara itu, ulama akan mampu memperkenalkan Islam sebagai satu gagasan pembaharuan dan alternatif yang komprehensif untuk membangunkan ummah di samping menyelematkannya dari fikrah-fikrah meterialistik dan logikal yang sempit dan tidak berpandangan jauh. Dari aspek sosio politik pula, para ulama hendaklah memaparkan kepada dunia akan nilai-nilai Islam yang sejagat seperti konsep syura, keadilan sosial, kebebasan dan maruah diri serta mempromosikan perspektif dan pandangan kacamata Islam dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak asasi manusia. Di samping itu yang paling penting, para ulama juga hendaklah sentiasa bersedia untuk berjihad dengan harta dan nyawa untuk mempertahankan martabat Islam diatas muka bumi Allah SWT ini.
Secara kesimpulannya, apa yang disebutkan diatas hanyalah secara ringkas tanpa melihat kepada contoh dan penerangan yang panjang kerana kalau dibincangkan isu ini secara khusus, sudah tentu akan menghasilkan penulisan panjang yang berjilid-jilid. Penulis hanyalah ingin memberikan gambaran umum terhadap situasi ummah yang berlaku dewasa ini yang tidak mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya dari para ulama. Sudah tentu segala gagasan dan saranan diatas memerlukan pengorbanan, istiqamah dan kesabaran yang tinggi daripada para ulama yang menggalas amanah selaku pewaris para nabi sepanjang zaman.